Projek tebatan banjir di Kota Tinggi perlu disegerakan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) melawat PPS SK Taman Kota Jaya.
Ahmad Zahid (kanan) melawat PPS SK Taman Kota Jaya.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan mahu projek tebatan banjir di daerah ini bernilai lebih RM700 juta disegerakan bagi pelaksanaanya bagi mengatasi isu banjir yang berlaku saban tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor yang dilantik telah diarahkan menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada tarikh dijadualkan siap.

"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan tebatan banjir bernilai kira-kira RM750 juta. Projek tebatan banjir yang sepatutnya siap pada tahun 2030 akan disegerakan pada 2027 atas permintaan kerajaan negeri.

"Kerajaan juga pada masa sama akan mempertimbangkan untuk melibatkan projek sama di Sungai Sedili Besar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk yang tinggal di lembangan sungai berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua projek tebatan banjir di daerah Kota Tinggi dengan kos mencecah kira-kira RM700 juta.

Ia bagi memastikan kejadian banjir buruk yang sering berlaku di daerah itu tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika mengulas isu kelewatan penghantaran makanan yang berlaku di sebuah PPS di Kota Tinggi pada Isnin, Ahmad Zahid berkata isu berkenaan telah diselesaikan.

"Saya dapat laporan yang sama tetapi perkara itu telah diselesaikan ketika itu hubungan penghantaran terputus memang tidak ada laluan sebab aset kita cuma ada lori lima tan sahaja.

"Tetapi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan lori 10 tan ke Kota Tinggi dan masalah itu telah berjaya diselesai," ujarnya.

Sebelum itu media melaporkan seramai 224 mangsa banjir daripada 67 keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT Tajul terpaksa menahan lapar lebih enam jam selepas makanan tengah hari tiba lewat lebih enam jam.