Waris pemuda hilang di laut terima pampasan PERKESO

Farihah (dua dari kiri) menyampaikan surat pampasan kepada Noaini dan keluarga ketika ziarah prihatin Perkeso ke rumah mereka di Tanah Lot, Dungun pada Rabu.
Farihah (dua dari kiri) menyampaikan surat pampasan kepada Noaini dan keluarga ketika ziarah prihatin Perkeso ke rumah mereka di Tanah Lot, Dungun pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN – Keluarga pemuda yang hilang di laut bersama adik angkatnya sembilan tahun lalu menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Rabu.

Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pampasan tersebut diberikan setelah Allahyarham Mohd Sabrie Kamaruddin, 22, diisytiharkan meninggal dunia oleh mahkamah pada 16 November tahun lalu.

Menurutnya, keluarga berkenaan menerima tunggakan bayaran Faedah Pencen Penakat berjumlah RM34,100.72, pencen bulanan RM385 dan Faedah Pengurusan Mayat RM2,000.

"Keputusan Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh dianggap meninggal dunia oleh mahkamah sekiranya orang sepatutnya mendengar khabar mengenainya, tidak mendengar apa-apa khabar selama lebih tujuh tahun.

"Hari ini kita telah menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 kepada waris mangsa setelah mendapat pengisytiharan Anggapan Kematian daripada pihak mahkamah.

Noaini menunjukkan keratan akhbar mengenai berita kehilangan anaknya yang disiarkan pada 2015.
Noaini menunjukkan keratan akhbar mengenai berita kehilangan anaknya yang disiarkan pada 2015.

"Selain menerima faedah pencen penakat, waris mangsa iaitu ibu, bapa dan adik waris (Syaidatul Effa Kamaruddin, 19) turut mendapat pencen bulanan sebanyak RM385," katanya ketika menyertai program ziarah prihatin PERKESO, di sini pada Rabu.

Allahyarham Mohd Sabrie bersama adik angkatnya, Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22 sebelum ini dilaporkan hilang apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam di perairan Kuala Dungun, Terengganu pada 19 Julai 2015.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham meninggalkan ibu, Noaini @ Noraini Abdul Ghani, 55; bapa, Kamaruddin Ibrahim, 59, serta dua adik berusia 19 dan 27 tahun.

Sementara itu, ibu mangsa tidak mampu menahan sebak sebaik menerima pampasan tersebut.

Katanya, sehingga kini dia masih berharap agar anak sulungnya itu ditemui walaupun kejadian itu sudah lama berlaku.

Farihah (kiri) menenangkan Noaini yang terharu ketika menerima kunjungan Perkeso di rumahnya pada Rabu.
Farihah (kiri) menenangkan Noaini yang terharu ketika menerima kunjungan Perkeso di rumahnya pada Rabu.

"Sebelum diisytiharkan meninggal dunia saya memang berharap agar arwah ditemui. Saya tak putus berdoa agar jasadnya ditemui walaupun sekadar tulang.

"Bagaimanapun, saya pasrah dengan takdir Yang Maha Esa. Saya reda dengan apa yang telah berlaku,"ujarnya.

Menurutnya, wang diterima oleh PERKESO itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya ada niat nak sedekah duit ini dan buat upah haji untuk arwah kerana duit yang ditinggalkan ini adalah hak arwah dan kami akan manfaatkannya sebaik mungkin," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!