Pesakit diabetes penerima pertama faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Rohaya (berkerusi roda) ketika menerima kunjungan daripada wakil PERKESO.
Rohaya (berkerusi roda) ketika menerima kunjungan daripada wakil PERKESO.
A
A
A

MARANG - Seorang suri rumah yang menghidap kencing manis sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong merupakan penerima pertama di Terengganu yang menerima Faedah Keilatan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Rohaya Jalil, 53, bersyukur apabila terpilih untuk menerima pencen berkenaan sebanyak RM300 sebulan.

Menurutnya, dia yang merupakan peserta program e-Kasih telah dicarumkan di bawah skim tersebut bermula 1 Disember 2022 yang ditaja sepenuhnya di bawah geran kerajaan untuk tempoh satu tahun perlindungan.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis sejak 2003 turut mengalami masalah saraf di mana saluran pada pembuluh darah kaki kiri tersumbat sehingga menyebabkan kakinya telah dipotong dari paras atas lutut pada Ogos tahun lalu.

"Setelah menjalani pemulihan dan kini berkerusi roda, saya mendapat tahu telah dicarumkan di bawah skim itu selepas menerima surat permakluman dari PERKESO berhubung tarikh tamat tempoh perlindungan berakhir pada 30 November 2023.

"Anak saya juga telah hadir ke pejabat PERKESO Terengganu untuk membuat pertanyaan bagi mendapatkan sebarang faedah dan bantuan diterima menerusi skim tersebut.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan layak menerima faedah keilatan di bawah skim itu dan bersyukur kerana ia dapat digunakan untuk biaya kos pengangkutan serta perbelanjaan lain bagi rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baru Bukit Gasing, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, Rohaya merupakan penerima pertama melibatkan Faedah Keilatan SKSSR telah menerima bayaran pertama faedah pencen ilat SKSSR berjumlah RM1,379.99 bagi tempoh 13 September 2023 sehingga 2 Januari 2024.

Katanya, Rohaya akan menerima pencen bulanan berjumlah RM300 sebulan sehingga berusia 55 tahun.

"Dia juga layak menerima kemudahan pemulihan yang diperlukan dari semasa ke semasa atas syor doktor dengan pembiayaan sehingga RM50,000," jelasnya.

Sementara itu, Farihah berkata, statistik pendaftaran SKSSR di seluruh Terengganu sepanjang tahun lepas menunjukkan seramai 14,296 suri rumah berinsurans berjaya didaftarkan melalui tajaan kerajaan dan sukarela.

Jelas beliau, sebanyak RM99,155.94 pampasan telah dibayar kepada suri rumah berinsurans serta waris membabitkan 54 kes bagi tempoh Januari hingga November 2023.

"Jadi kita nasihatkan kepada semua suri rumah di bawah usia 55 tahun supaya segera mendaftar bagi mendapatkan perlindungan skim ini.

"Suami juga boleh mencarum bagi pihak isteri masing-masing demi perlindungan dan kebajikan pasangan masing-masing.

"Sebagai contoh kes pada kali ini melibatkan suri rumah yang mengalami keuzuran telah layak menerima faedah kerana skim ini mampu memberi perlindungan kepada mereka jika ditimpa kemalangan, keilatan atau kematian berkaitan pengurusan rumah tangga," ujarnya.