Banjir kilat: Warga Puchong mahu jalan penyelesaian

Keadaan banjir kilat di Kampung Sri Andalas pada Ahad. Gambar kecil: Ng Sze Han dan Tajul Ikhwan
Keadaan banjir kilat di Kampung Sri Andalas pada Ahad. Gambar kecil: Ng Sze Han dan Tajul Ikhwan
A
A
A

PUCHONG - Taburan hujan yang tinggi daripada taburan normal dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya banjir kilat di sekitar Puchong dekat sini pada Ahad lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han ketika dihubungi berkata, taburan hujan merekodkan penerimaan hujan lebat melebihi 90 milimeter (mm) dalam tempoh satu jam.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengakui antara faktor lain menyebabkan banjir kilat adalah faktor longkang tersumbat.

Keadaan banjir kilat di laluan arah selatan dari Puchong Jaya ke IOI Puchong
Keadaan banjir kilat di laluan arah selatan dari Puchong Jaya ke IOI Puchong

"Taburan hujan hampir 90mm (dalam tempoh) satu jam semalam (pada Ahad). Saya telah minta pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lihat.

"Saya juga minta MBSJ bersihkan longkang dan pastikan ia tidak tersumbat dan MBSJ akan siasat dan bincangkan secara terperinci (punca dan solusi) semasa mesyuarat penuh bulan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, penduduk di Kampung Sri Andalas mendakwa kejadian banjir kilat pada Ahad merupakan kali pertama berlaku dan melanda kawasan itu di luar musim tengkujuh.

Seorang pemuda, Tajul Ikhwan menjangkakan jika keadaan itu tidak diatasi ia bakal menyebabkan banjir lebih buruk di kawasan terbabit pada musim tengkujuh kelak.

Artikel Berkaitan:

"Bulan Mei, pertengahan tahun 2024 dah mula banjir (teruk) macam ini, macam mana agaknya apabila hujung tahun nanti yang sememangnya musim hujan?

"Masa itu (banjir pada Ahad) air sudah hampir masuk ke bahagian tingkap rumah namun mujurlah hujan berhenti dan air mulai surut perlahan-lahan," katanya.

Pemuda terbabit turut menyiarkan keadaan banjir kilat secara langsung di laman Facebooknya dan mendapat pelbagai komen daripada netizen pada Ahad lalu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dari Kampung Sri Puchong, Riana Anasahri berkata, ketika banjir kilat berlaku dia berada di tempat kerja sekitar jam 5.30 petang.

"Saya berada di tempat kerja di Puchong Permai dan saya ingatkan banjir kilat berlaku di sini sahaja tetapi apabila tiba di rumah sewa saya, rupanya banjir juga.

"Ini kali pertama banjir melanda kawasan rumah sewa saya di Lorong 3 Jalan Mawar di Kampung Sri Puchong tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Marliza berkata, kejadian banjir kilat pada Ahad lalu juga merupakan kejadian pertama berlaku di Puchong Intan.

Rata-rata penduduk yang ditemui turut memohon pihak berkuasa tempatan segera mencari solusi bagi mengurangkan impak apabila hujan lebat melanda kawasan itu.

Pada Ahad hujan lebat lebih kurang dua jam bermula sekitar jam 5.30 petang menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di sekitar Puchong.

Antara kawasan didakwa teruk terjejas melibatkan laluan arah selatan dari Puchong Jaya ke IOI Puchong, Pangsapuri Seri Jati, Bandar Puteri dan Kampung Tengah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!