Taburan hujan rendah mulai pertengahan Mei ini susulan Monsun Barat Daya

Berlaku gelombang haba serta cuaca panas dan kering di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara. Gambar hiasan.
Berlaku gelombang haba serta cuaca panas dan kering di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perubahan fasa Monsun Barat Daya bermula pertengahan bulan ini hingga September dijangka menyebabkan kejadian ribut petir dan hujan lebat berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fenomena El Nino kuat pada Disember lepas memberi kesan kepada keadaan cuaca negara yang menyebabkan berlakunya gelombang haba serta cuaca panas dan kering di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara.

"Saya mengambil maklum mengenai status terkini cuaca panas di mana empat kawasan di Kelantan berada pada Tahap Dua Gelombang Haba iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Nik Nazmi berkata, tahun ini telah menyaksikan dua kematian melibatkan strok haba iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun di Pahang pada Februari dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan pada bulan lepas.

Sehubungan itu, Nik Nazmi menasihatkan orang ramai berjaga-jaga terhadap keadaan cuaca dan kualiti udara serta tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka sewaktu perubahan fasa Monsun Barat Daya pada bulan ini.

"Orang ramai dinasihatkan peka terhadap cuaca dan kualiti udara melalui aplikasi myCuaca, MyIPU dan laman web rasmi MET Malaysia (https://www.met.gov.my/) serta portal Air Pollutant Index Management System (APIMS) (https://apims.doe.gov.my/home.html),” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai melaporkan juga kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan hotline Jabatan Alam Sekitar 1-800-88-2727 atau e-mel kepada aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my atau melalui talian 03-88712333.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi memaklumkan satu Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) kali kedua akan diadakan secepat mungkin bagi membincangkan situasi cuaca panas dan kering semasa serta mengatur strategi berkaitan bersama semua kementerian, jabatan dan agensi terlibat

Artikel Berkaitan:

Katanya mesyuarat JIJCKK yang sebelum ini diadakan pada Februari lepas adalah membincangkan persediaan negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering serta langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!