Pembangunan hotel, kondominium bukan dalam projek Gurney Bay

Mooy Lye (kiri) menunjukkan plan pembangunan Gurney Bay.
Mooy Lye (kiri) menunjukkan plan pembangunan Gurney Bay.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tanah yang dikhaskan untuk projek hotel dan kondominium tidak termasuk dalam komponen projek pembangunan Gurney Bay.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jason H'ng Mooi Lye berkata, dua bidang tanah rizab kerajaan seluas lapan hektar (bertentangan Plaza Gurney) dan 2.8 hektar (berhampiran pusat penjaja Gurney Bay) telah diasingkan dan tidak bergabung dengan projek terbabit.

Menurutnya, projek pembangunan bercampur termasuk pembinaan hotel dan kediaman tersebut dibangunkan oleh pihak pemaju yang telah memperolehi tanah tersebut secara pemberimilikan daripada kerajaan negeri sebagai tanah ganti untuk infrastruktur pembinaan lebuh raya yang giat dilaksanakan.

"Pembangunan bercampur berhampiran Teluk Gurney terletak di atas tanah rizab kerajaan (sebahagian daripada lapan hektar bertentangan dengan Plaza Gurney), tidak bergabung dengan projek Gurney Bay.

"Pelaksanaan projek Gurney Bay adalah dipantau rapi selaras dengan konsep dan idea yang diumumkan oleh kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.

Projek Pembangunan Gurney Bay adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan kawasan taman rekreasi awam di atas tanah yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai satu komponen di bawah projek Tambakan Laut Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2).

Projek Gurney Bay dilaksanakan atas tanah berkeluasan 40 hektar dan ia dibangunkan secara berfasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.

Fasa 1 tanah seluas 10 hektar telah siap dibangunkan dan telah dibuka kepada orang awam pada 4 Februari 2024.

Artikel Berkaitan:

Mooy Lye berkata, kerja-kerja pembangunan bagi Fasa 2 (tanah seluas 29 hektar) telah mencapai 48 peratus dan dijangka dapat disiapkan pada tahun 2025.

Jelasnya, projek pembangunan bercampur yang dijalankan di atas tanah yang diberimilik kepada pihak swasta adalah dipantau oleh PLANMalaysia dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!