Tanah 40 hektar di Lambor, projek baharu tanaman bawang

Mohd Zolkafly ketika sidang akhbar pada Khamis.
Mohd Zolkafly ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak akan melaksanakan projek baharu tanaman bawang melibatkan kawasan seluas 40 hektar di Lambor dekat Bota.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pelaksanaan itu susulan kejayaan projek perintis tanaman bawang seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai yang memberikan hasil pengeluaran 2.3 tan pada tuaian pertama, 3 April lalu.

Menurutnya, perkembangan positif ditunjukkan projek terbabit menarik minat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk bekerjasama memperluaskan tanaman.

"Tanah itu memang milik SADC dan secara dasarnya telah dipersetujui bagi tujuan penanaman bawang dengan kerjasama MARDI.

"Pelaksanaannya dirancang pada tahun ini juga dengan menggunakan jenis benih sama iaitu varieti bawang merah BAW-1 dan BAW-2," katanya kepada pemberita sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini pada Khamis.

Mohd Zolkafly (kiri) mengiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.
Mohd Zolkafly (kiri) mengiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri gembira dan menyambut baik galakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperluaskan tanaman bawang memandangkan negeri ini mempunyai banyak potensi lokasi strategik.

"Banyak lagi kawasan lain yang kita sedang kaji kesesuaian kerana untuk tanaman bawang ini memerlukan tanah yang berpasir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, selain tujuan pasaran, tanaman bagi penghasilan benih juga dicadang dilaksanakan supaya dapat dibekalkan kepada pengusaha, komuniti dan petani menerusi projek-projek tanaman di bawah kerajaan negeri.

"Ini pelan jangka masa panjang kita untuk menggalakkan lebih ramai komuniti terlibat dalam tanaman bawang.

"Malah Menteri Besar sendiri (Datuk Seri Saarani Mohamad) ada cadangan untuk memperkenalkan hasil pengeluaran negeri ini sebagai bawang Perak," katanya.

Mohd Zolkafly (lima dari kanan) menyantuni pengunjung yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.
Mohd Zolkafly (lima dari kanan) menyantuni pengunjung yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.

Projek perintis di Ladang Bikam telah dilaksanakan secara tiga fasa dengan sasaran pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik.

Tuaian pertama menggunakan varieti bawang merah BAW-1 melibatkan kawasan fasa 1 seluas 0.6 hektar dan dijangka potensi hasil lebih besar menerusi tanaman fasa 2 dan 3 yang menggunakan varieti bawang merah BAW-2.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!