Pulau Pinang selaras kenaikan gaji penjawat awam ikut kerajaan Persekutuan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

BATU KAWAN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menaikkan gaji penjawat awam di negeri itu selaras keputusan kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang baharu bermula Disember ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenaikan gaji itu akan diselaraskan seperti mana di peringkat pusat, namun menurutnya ia masih memerlukan penelitian lanjut sebelum dilaksanakan.

"Kita akan ikut garis panduan ditetapkan (kerajaan persekutuan), sebab Perdana Menteri dalam ucapan tempoh hari pun ada meletakkan syarat bahawa kenaikan gaji bagi setiap penjawat awam tidak sama, ada penilaian dalam menentukan kadar (kenaikan).

"... jadi kita akan ikut (garis panduan itu),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang Yu di sini, hari ini.

Pada 1 Mei lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang baharu akan membabitkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini, iaitu antara kadar kenaikan tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Sementara itu Chow berkata pembinaan SJKC Kuang Yu adalah bagi memindahkan sekolah lama yang terletak di Penaga, memandangkan ketika ini sekolah terbabit yang sudah berusia 90 tahun hanya menerima sekitar 27 orang murid.

"Keputusan untuk memindahkan sekolah ini telah dibuat sejak beberapa tahun lepas dan kebetulan tanah di sini (Batu Kawan) dikhaskan untuk tujuan pembangunan sekolah maka Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan kerajaan negeri telah menawarkan tapak seluas enam ekar (2.4ha) bagi tujuan penempatan semula,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun Goh Choon Aik berkata kos membina bangunan sekolah dua tingkat itu menelan belanja sekitar RM22 juta dan sehingga kini RM15 juta sudah berjaya dikumpulkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri dan pusat bagi membiayai perbelanjaan kos pembinaan sekolah itu memandangkan ia sekolah bantuan modal, supaya dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Hari ini pemasangan cerucuk dilakukan menandakan bermulanya pembinaan sekolah, dan ia dijangka siap pertengahan 2026. Kita harap ia dapat dibuka pada sesi persekolahan 2027 nanti,” katanya.

Sekolah itu nanti mampu memuatkan maksimum 3,000 murid tahun satu hingga enam dan berkonsepkan sekolah pintar berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan perindustrian Bukit Minyak dan Penang Science Park. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!