Persatuan pelancongan dakwa dikenakan caj 'untung atas angin'

Rusdi (tengah) bersama ahli Persatuan Pemilik Syarikat dan Pengusaha Bot Pelancongan Jesselton Point Kota Kinabalu menunjukkan surat yang diterima berhubung pemusatan kaunter bagi aktiviti sukan air di pulau-pulau Taman Tunku Abdul Rahman.
Rusdi (tengah) bersama ahli Persatuan Pemilik Syarikat dan Pengusaha Bot Pelancongan Jesselton Point Kota Kinabalu menunjukkan surat yang diterima berhubung pemusatan kaunter bagi aktiviti sukan air di pulau-pulau Taman Tunku Abdul Rahman.
A
A
A

KOTA KINABALU - Persatuan Pemilik Syarikat dan Pengusaha Bot Pelancongan Jesselton Point Kota Kinabalu mendakwa mereka dikenakan caj untuk setiap aktiviti sukan air yang dikendalikan di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) tanpa sebarang perbincangan daripada Taman-Taman Sabah (TTS).

Malah dakwa persatuan itu lagi, caj yang dikenakan kepada mereka seolah-olah hanya bertujuan untuk mendapatkan 'keuntungan atas angin' bagi dua syarikat yang bertanggungjawab melakukan kutipan caj tersebut.

Timbalan Pengerusi persatuan tersebut, Rusdi Saelih yang mewakili kira-kira 30 pengusaha industri pelancongan mendakwa mereka dimaklumkan bahawa pemusatan kaunter dan caj yang dikenakan itu berkuatkuasa bermula 1 Mei lalu.

"Salah seorang pengusaha telah menerima notis pemberitahuan berhubung pelaksanaan pemusatan kaunter di mana surat itu dibuat pada 20 Mac lalu namun kami hanya mengetahuinya pada 18 April lalu.

"Terdapat dua syarikat telah dilantik secara terus daripada TTS, namun tiada sebarang pemberitahuan atau perbincangan bersama pengusaha dilakukan untuk mendapatkan pandangan mengenai perkara ini," katanya kepada Sinar Harian pada petang Selasa.

Aliakbar (lima dari kanan) ketika bertemu dengan ahli Persatuan Pemilik Syarikat dan Pengusaha Bot Pelancongan Jesselton Point Kota Kinabalu bagi membincangkan isu yang dihadapi mereka pada Selasa.
Aliakbar (lima dari kanan) ketika bertemu dengan ahli Persatuan Pemilik Syarikat dan Pengusaha Bot Pelancongan Jesselton Point Kota Kinabalu bagi membincangkan isu yang dihadapi mereka pada Selasa.

Susulan daripada itu, Rusdi berkata, sebahagian ahli persatuan telah masuk ke Pulau Sapi bagi meninjau pihak yang dikatakan telah membuka kaunter untuk tujuan mengenakan caj kepada pengusaha bagi setiap aktiviti sukan air yang dijalankan di pulau tersebut.

"Setakat ini, mereka mengenakan caj kepada pengusaha untuk sukan parasailing sebanyak RM32 di mana jumlah itu juga tidak dinyatakan secara jelas di dalam resit mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi di sini kami percaya wujudnya unsur untung atas angin dan lebih parah lagi kedua-dua syarikat terbabit tidak ada pengalaman serta tiada sebarang aset terhadap mana-mana aktiviti sukan air untuk ditawarkan kepada pelancong.

"Hasil semakan kami juga mendapati kedua-dua syarikat ini tiada lesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedangkan kami semua sebagai pengusaha mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pelancongan di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, Rusdi berkata, penjelasan dan perbincangan harus dibuat oleh pihak berkaitan kerana caj tersebut akan memberi kesan bukan saja kepada pemain industri tetapi juga sektor pelancongan di negeri ini.

"Jadi bagi mengelak perkara ini berterusan berlaku dan dibimbangi akan merebak kepada pemain industri di pantai timur, pihak berkaitan diminta untuk memberi penjelasan dan melakukan perbincangan yang sewajarnya.

"Perkara ini juga kami telah sampaikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan yang turut hadir dalam satu pertemuan untuk mendapatkan pandangan dan seterusnya supaya beliau mendapatkan akses kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Ketua Menteri," katanya.

Sementara itu, Aliakbar berkata, sesuatu keputusan baharu oleh pihak kerajaan atau TTS sepatutnya dibuat secara rundingan dengan semua pengusaha pelancong tersebut.

"Saya akan membantu pengusaha ini supaya mereka dapat berjumpa dengan Menteri Pelancongan dan Ketua Menteri bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!