Kenaikan gaji penjawat awam boleh elak rasuah

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Badlishah)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Badlishah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini dapat meringankan beban kewangan dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat sekali gus mengurangkan gejala rasuah di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, penglibatan seseorang pekerja itu dengan rasuah kebiasaannya didorong oleh faktor luar seperti kos sara hidup dan ekonomi isi rumah.

“Kalau misalnya mereka tertekan atau terdesak dari segi kewangan itu yang mendorong mereka untuk mengambil rasuah dan sebagainya,

“Insya-ALLAH kita harap dengan pengumuman kerajaan berhubung kenaikan gaji itu, ia sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan gejala rasuah daripada berleluasa di kalangan penjawat awam.

“Secara umumnya, saya menyokong langkah kerajaan dalam menaikkan gaji penjawat awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada minggu lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara dan kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Dalam pada itu, ujar Badlishah, penjawat awam diingatkan supaya tidak lalai, bijak menguruskan kewangan dan tidak mengambil hutang sehingga melebihi kemampuan pembayaran.

“Dalam hal ini, mereka kena banyak buat pertimbangan dan jangan ambil hutang terlalu banyak kerana risau ia menjadi beban.

Artikel Berkaitan:

“Kalau menjadi beban, maka kesudahan balik seperti asal, maknanya naik gaji tinggi macam mana pun, ia tetap tidak mencukupi sebab berbelanja lebih dari kemampuan

“Kemudian bila gaji naik, maka produktiviti pekerja kena tingkatkan. Begitu juga dengan disiplin dan prestasi kerja,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!