Gaji, kualiti kerja penjawat awam ‘sama-sama naik’

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

HARI Pekerja tahun ini memberi makna sangat istimewa kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus pada Disember ini sememangnya berita gembira yang ditunggu-tunggu mereka. Sesiapa yang tidak teruja jika gaji bulanan naik.

Ia antara yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara selepas kali terakhir 12 tahun lalu, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion yang turut menetapkan pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun perlu melebihi RM2,000 sebulan, berbanding jumlah semasa RM1,795 sebulan.

Kenaikan gaji tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi pelbagai kenaikan kos sara hidup dan harga barang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selain dapat merancang simpanan sebagai persediaan pada masa kecemasan.

Ia juga sudah tentu dapat meningkatkan kuasa beli, seterusnya memberi kesan positif kepada ekonomi negara, namun pada masa diharap golongan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan hanya semata-mata gaji penjawat awam bakal dinaikkan.

Seiring dengan kenaikan gaji tersebut, semua penjawat awam harus memastikan perkhidmatan diberikan kepada rakyat juga adalah yang terbaik.

Produktiviti, kemahiran dan kecekapan bekerja mestilah ‘cemerlang’, sekali gus dapat mengurangkan aduan serta rungutan rakyat terhadap perkhidmatan sektor kerajaan.

Jangan ada lagi kedengaran suara sinis mengecam jabatan kerajaan. Cara bekerja ‘purbakala’ harus dibuang.

Artikel Berkaitan:

Takkan masih perlu beratur panjang berjam-jam lamanya hanya kerana daripada 10 kaunter yang ada, dua kaunter sahaja buka.

Kelulusan pula makan masa berbulan-bulan. Jika berurusan menggunakan telefon, disuruh tunggu, tekan itu dan ini, disambung ke sana sini tetapi akhirnya tidak berjawab kerana semua orang sedang sibuk katanya. Berubahlah!

Jangan asyik bercakap tentang naik gaji dan bonus setiap waktu tetapi perkhidmatan masih di takuk lama.

Kedua-duanya harus seiring. Jadilah penjawat awam yang dipandang tinggi dan dihormati, bukan penjawat awam yang suka curi tulang, selalu datang lambat, tidak amanah ketika menjalankan tugas, salah guna kuasa dan lebih teruk jika makan rasuah.

Kita mahukan perkhidmatan awam yang telus, cepat, terbaik dan memuaskan hati rakyat jelata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!