Polis serbu 'port' mat rempit, pamer aksi bahaya

Antara remaja yang ditahan selepas didapati lakukan aksi berbahaya di Persiaran Perbandaran pada Sabtu.
Antara remaja yang ditahan selepas didapati lakukan aksi berbahaya di Persiaran Perbandaran pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya selain membuat bising mengundang padah apabila ditahan di Persiaran Perbandaran dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi berkenaan dijalankan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Serbuan dijalankan antara jam 11.55 malam sehingga 3 pagi sebelum itu mendapati terdapat sekumpulan remaja menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

"Selain itu, mereka turut didapati membunyikan ekzos sehingga menimbulkan bunyi bising di lokasi berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, operasi terbabit turut menyita lapan buah motosikal yang didapati terdapat pelbagai kesalahan.

"Selain itu, sebanyak 41 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Antaranya melibatkan pengubahsuaian ekzos, ubah suai struktur kenderaan, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan pelbagai kesalahan lain," katanya.

Menurutnya, polis sentiasa komited dalam memastikan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang antaranya kegiatan lumba haram ini dapat dibanteras sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan ini.

"Ia juga sebagai salah satu usaha bagi membendung aktiviti tidak sihat ini serta mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal," katanya.

Mohd Iqbal berkata, menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.

"Polis akan terus memburu mana-mana individu yang berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tiada kompromi kesalahan melibatkan samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna lain terjaga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!