Sediakan PBP cegah kesihatan mental, tekanan, kemurungan - Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bantuan Pekerja (PBP) perlu disediakan bagi mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap pekerja yang mengalami masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan sehingga menjejaskan prestasi kerja.

Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia merupakan antara cadangan yang boleh dilakukan bagi merawat pesakit mental di negara ini.

“Selain itu, memperbanyakkan lagi kemudahan bagi pesakit mental seperti perlindungan insurans yang buat masa ini masih tidak melindungi mereka dan pengecualian cukai pendapatan untuk ibu bapa atau saudara-mara yang memberikan penjagaan kepada pesakit mental.

“Di samping itu, syarikat swasta boleh diberi pengecualian cukai atau insentif lain sebagai galakan untuk memberi peluang pekerjaan kepada pesakit mental yang telah pulih serta menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih baik di semua hospital kerajaan dan menjadikan kos ubat untuk mereka lebih mampu.

“Menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap pesakit mental yang telah pulih daripada penyakit mental supaya mereka dapat diintegrasikan semula dengan masyarakat seperti mana kita ingin melihat penagih dadah yang telah pulih pulang ke pangkuan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, ujar Lam Thye, masalah kesihatan mental hendaklah ditangani segera supaya masalah seperti tekanan, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan.

“Pengabaian faktor kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap kecekapan, keberkesanan dan hasil sesuatu perusahaan.

“Di mana terdapat kes pekerja yang menderita dari penyakit mental, majikan perlu memberi pertolongan dan bantuan dalam bentuk kaunseling.

Artikel Berkaitan:

“Prestasi pekerja, kekerapan jatuh sakit, ketidakhadiran, kemalangan dan pusing-ganti pekerja akan terjejas oleh keadaan kesihatan mental pekerja,” ujarnya.

Sementara itu, menurutnya, isu kesihatan mental di tempat kerja harus diberikan perhatian kerana produktiviti pekerja bergantung kepada tahap kesihatan mental mereka.

“Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi.

“Promosi terhadap kesihatan mental adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan, majikan, masyarakat dan juga unit keluarga.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk pesakit mental di negara ini selain daripada memberikan rawatan, kaunseling dan penjagaan iaitu dari segi bantuan terhadap ahli keluarga yang terdekat dan juga lain-lain jenis kemudahan,” ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!