'Perlu alih pencawang TNB dulu sebelum roboh Stadium Shah Alam'

Kerja pengalihan pencawang elektrik TNB perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum proses perobohan Stadium Shah Alam boleh dilaksanakan. Gambar Kecil: Amirudin
Kerja pengalihan pencawang elektrik TNB perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum proses perobohan Stadium Shah Alam boleh dilaksanakan. Gambar Kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja pengalihan pencawang elektrik TNB perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum proses perobohan Stadium Shah Alam boleh dilaksanakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencawang elektrik berkenaan yang membekalkan tenaga kepada penduduk Seksyen 13 perlu dialihkan bagi mengelak masalah gangguan elektrik.

Menurutnya, kerja perobohan akan dilakukan sejurus isu teknikal berkenaan diselesaikan.

"Kita sedang selesaikan masalah berkenaan.

Kita sedang ubah aliran itu bagi mengelak penduduk di sana (Seksyen 13) bergelap.

"Itu aspek yang perlu diberikan pertimbangan terlebih dahulu walaupun kelulusan (perobohan) telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Disember tahun lalu," katanya mengenai status perobohan Stadium Shah Alam.

Beliau ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan stadium berkenaan dijadual dirobohkan Disember tahun lalu namun tertangguh sehingga kini.

Ia menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat Selangor berkenaan status semasa pembinaan kompleks sukan serta stadium baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, kerja perobohan stadium juga akan mengambil masa kerana menggunakan kaedah manual iaitu bantuan mesin berbanding bahan letupan.

"Perobohan stadium akan berlaku dan saya akan pastikan ia disegerakan namun kita tidak boleh gunakan peledak atau bom yang akan beri kesan kepada kawasan kejiranan di situ.

"Disebabkan itu, proses perobohan itu akan dilakukan secara manual dan mengambil masa sedikit panjang," katanya.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang menelan kos antara RM787 hingga RM800 juta.

Venue itu bakal dilengkapi teknologi tinggi apabila permukaan padangnya boleh diubah seperti mana yang terdapat di Stadium Alabama, Amerika Syarikat.