'Kelas terapung' atasi masalah kepadatan pelajar' - Fadhlina

Fadhlina (dua dari kiri) melawat salah sebuah kelas semasa meninjau SMK Meru di Klang, pada Isnin.
Fadhlina (dua dari kiri) melawat salah sebuah kelas semasa meninjau SMK Meru di Klang, pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan konsep 'kelas terapung' di seluruh negara bagi menangani sekolah yang mempunyai pelajar berkepadatan tinggi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelas terapung itu antara inisiatif terbaik dengan mewujudkan kelas atau bilik darjah khas bagi mengatasi kesesakan pelajar.

"Penggunaan fasiliti sekolah akan dioptimumkan sebaik mungkin pihak sekolah seperti makmal, bengkel, bilik bahasa dan bilik kesihatan," katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, Fadhlina memberitahu, tidak semua sekolah akan menggunakan dinamika kelas terapung bagi subjek pelajaran tertentu dan ia bergantung kepada kesesuaiannya.

"Jika mereka ada kelas lebih, boleh buat konsep itu. Jika tiada, mungkin boleh guna kaedah lain bagi mengatasi masalah kepadatan pelajar," ujar beliau.

Statistik terkini KPM mendapati sebanyak 86 sekolah padat dikenal pasti mempunyai lebih 40 pelajar dalam sesebuah kelas termasuk di sekitar Lembah Klang.

Mengulas mengenai lawatannya di SMK Meru, Fadhlina menjelaskan, hasil tinjauan menerusi program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri Satu di SMK Meru mendapati sesi pembelajaran dan pergerakan pelajar berjalan teratur setakat ini.

Fadhlina pada sidang akhbar selepas meninjau SMK Meru di Klang.
Fadhlina pada sidang akhbar selepas meninjau SMK Meru di Klang.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sekolah itu mempunyai 4,198 pelajar dan 240 guru bagi sesi penuh turut mengambil inisiatif mewujudkan kelas terapung.

"Pengalaman seumpama ini yang kita boleh lihat untuk digunakan di sekolah lain dalam jangka masa pendek atau sederhana," jelasnya.

Katanya, lawatan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu penting sebagai maklum balas isu melibatkan sekolah.

"Selain itu, kita melihat bagaimana mahu menyuraikan pelajar di sekolah padat dan mengoptimumkan sekolah lain di kawasan sekitar sebagai pilihan kepada ibu bapa.

"Bagi jangka masa panjang, pembinaan sekolah baharu juga diharap dapat menyelesaikan isu kepadatan itu dengan turut meliputi sesi libat urus bersama kerajaan negeri," tambah Fadhlina.

CAPTION

Fadhlina (dua dari kiri) melawat salah sebuah kelas semasa meninjau SMK Meru di sini, pada Isnin.

Fadhlina pada sidang akhbar selepas meninjau SMK Meru di sini, pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!