Tandas baharu sekolah, noktahkan kesengsaraan pelajar

Seorang murid menggunakan tandas yang telah di baik pulih ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Air Hitam Labu, Tronoh Mines di Kampar, Perak. Foto Bernama
Seorang murid menggunakan tandas yang telah di baik pulih ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Air Hitam Labu, Tronoh Mines di Kampar, Perak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tandas 'berwajah baharu' hasil naik taraf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak tahun lepas, memberi impak positif yang tidak sekadar membangkitkan keceriaan dan semangat pelajar ke sekolah tetapi juga turut menoktahkan episod kesengsaraan tandas daif sejak sekian lama.

Dengan usianya ada yang lebih dari satu dekad, keuzuran tandas di sekolah yang tidak diselenggara ini bukan sahaja berhadapan dengan pelbagai kerosakan dan ketidakselesaan tetapi turut sama menjejaskan pembelajaran pelajar.

Antaranya, terdapat pelajar yang terpaksa mengambil masa lebih lama ke tandas yang lebih jauh di blok lain sehingga menyebabkan mereka terlepas sesi pengajaran dan ini yang dirasai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, Kuala Berang, Terengganu.

Lebih dua tahun berhadapan dengan kesengsaraan tersebut, kesusahan mereka itu kini bagaimanapun berakhir apabila tandas di sekolah tersebut dinaik taraf dengan kos sebanyak RM70,000 sekali gus memberi kelegaan kepada pelajar.

"Disebabkan tandas perempuan blok C rosak, pelajar terpaksa ke bangunan blok B atau blok E untuk menggunakannya dan ini mengganggu proses pembelajaran mereka apabila terpaksa mengambil masa antara 15 hingga 20 minit ke tandas.

"Walaupun masalah ini nampak remeh, namun pergerakan ini sebenarnya menyebabkan mereka terlepas beberapa maklumat penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung, ini membuatkan pelajar tidak memahami apa yang diajar guru mereka,” kata pengetua sekolah itu, Mohd Rani Muda kepada Bernama.

Berwajah baharu, projek naik taraf di tandas sekolah itu dengan reka bentuk moden menggunakan jubin berona hitam putih dengan corak abstrak ini juga pada masa sama turut menyelesaikan masalah 'kesesakan' pelajar perempuan menggunakan tandas semasa waktu puncak, biasanya selepas waktu kelas.

Kerana itu, pihak sekolah dan pelajar begitu menghargai "hadiah yang amat berharga” ini dan Mohd Rani berkata jadual penjagaan dan pemantauan tandas turut diperluaskan kepada guru, kakitangan pengurusan, pelajar dan tidak hanya kepada pekerja pembersihan sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu semua warga SMK Matang sama-sama menghargai dan menjaga kemudahan yang kerajaan sediakan dengan baik bukan sahaja untuk kegunaan hari ini malah dalam tempoh 10 tahun lagi, misalnya,” katanya.

Hakikatnya, kepekaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat tandas sekolah dengan imej baharu telah banyak membawa impak positif kepada kesejahteraan pelajar dan ini termasuklah mendisiplinkan mereka untuk menjaga kebersihan.

Pengalaman buruk sebelum ini menggunakan tandas daif sehingga ada yang mengalami kecederaan, menjadikan kebanyakan pelajar yang ditemu ramah lebih menghargai pemberian itu kerana tidak mahu episod sama berulang kembali.

Berhadapan dengan masalah kerosakan yang sentiasa berulang kerana kerja pembaikan tidak dapat dibuat secara menyeluruh, projek naik taraf dan penyelengaraan tandas di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan membawa makna yang besar kepada warga di situ.

"Selama saya mengajar di sini lebih 10 tahun, pihak pengurusan ada membuat kerja baik pulih tetapi kerosakan tetap berulang dan apabila kerajaan mengumumkan peruntukan besar untuk baiki tandas, ia dapat dilakukan secara menyeluruh seperti mendapat tandas baharu,” kata pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPG itu Mohd Muhsinul Nidzam Abdullah.

Menariknya, naik taraf tandas di institusi itu yang berusia lebih 30 tahun turut dilengkapi ruang wuduk yang selesa dan cantik terutama membabitkan tandas di bahagian surau bagi kemudahan warga di situ.

Sebanyak lima daripada 21 bilik tandas diberi nafas baharu yang tidak hanya mementingkan kecantikan dan kualiti bahan digunakan tetapi juga aspek keselesaan seperti kemudahan diperlukan bagi individu bersaiz besar selain dilengkapi ruang mandi.

Semuanya demi untuk kesejahteraan pelajar dan pendidik bagi memastikan mereka dapat belajar serta mengajar dalam suasana selesa dan yang lebih penting, selamat selain lebih bersemangat untuk hadir ke sekolah. - Bernama