Dari Sekinchan ke seluruh negara


Program SMART SBB Ala Sekinchan yang kini dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang kini dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.
A
A
A

KAWASAN pertanian dan perikanan di Sekinchan, Selangor kian menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu, apatah lagi musim cuti panjang.

Keindahan sawah padi dan keenakan makanan laut menjadi tarikan utama orang ramai ke Sekinchan yang terletak dalam Kawasan Sabak Bernam dan berdekatan dengan Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

Penduduk Lembah Klang dan Lembah Kinta juga kerap berkunjung ke sini. Tarikan utama di Sekinchan sememangnya sawah padi yang menghijau dan sering menggamit perhatian jurugambar amatur serta profesional, selain tumpuan penggambaran drama dan filem.

Pada musim menanam padi, pengunjung boleh melihat jentera menanam (jentanam) benih padi di tengah bendang. Ketika padi tumbuh menghijau, kelihatan pula dron bersaiz besar berterbangan menabur baja atau racun.

Pada musim menuai, sawah padi berwarna kuning keemasan, boleh dilihat pula jentera menuai meredah dan ‘membotakkan’ pokok padi. Jika bertepatan dengan musimnya, pelancong boleh melihat kaedah menanam padi dan cara memprosesnya untuk dijadikan beras.

Di Sekinchan juga terdapat beberapa kilang beras. Ada juga muzium yang mempamerkan barang-barang lama yang digunakan untuk menghasilkan beras daripada padi.

Pada Jumaat, 5 Januari ini, seluruh Malaysia akan tertumpu pada kawasan sawah padi di Sekinchan kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Jalan Tali Air 5 untuk bersama-sama menanam padi di kawasan itu.

Peristiwa ini mengujakan rakyat Sekinchan, pesawah padi dan pelbagai agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) apabila Seri Paduka sendiri menunjukkan minat untuk menanam padi dan menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara.

Artikel Berkaitan:

Apa istimewanya Sekinchan?

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sejak setahun lalu kerap menyebut nama Sekinchan sebagai satu kawasan penanaman padi yang patut dicontohi oleh penanam padi di Malaysia.

Selain menjadi sebuah perkampungan nelayan yang meriah, Sekinchan adalah pengeluar hasil beras mengikut tan metrik paling tinggi di Malaysia.

Jumlah empat tan sehektar adalah purata penghasilan padi yang direkodkan bagi seluruh negara, namun pesawah di Sekinchan mampu menghasilkan sehingga 13 tan metrik padi sehektar dengan gred bermutu tinggi.

Angka ini melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tujuh hingga lapan tan sehektar manakala rata-rata penghasilan padi oleh pesawah di Selangor ialah lapan ke 10 tan sehektar. Pada asasnya pengeluaran hasil padi banyak bergantung kepada cara penanaman dan penjagaan, selain faktor alam dan serangan ulat perosak.

Di sekitar Sekinchan, sawah padi yang luas, tanah rata, pengairan bersistematik, disiplin mengikut kaedah penanaman yang teratur adalah antara faktor yang membuahkan jumlah hasil tertinggi beras di negara ini.

Oleh sebab itu, kaedah penanaman padi di Sekinchan yang menggunakan perkongsian teknologi dan menerapkan amalan pertanian terbaik perlu diperluaskan ke seluruh negara serta dijalankan secara besar-besaran.

Sejak memimpin KPKM, Mohamad nampak bekerja keras membuat revolusi dalam industri pertanian negara. Dalam industri beras negara, KPKM bersungguh-sungguh mencari kaedah lain supaya tanaman padi dapat dituai dengan lebih cepat untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.


Mohamad dan KPKM bersungguh-sungguh mencari kaedah lain supaya tanaman padi dapat dituai dengan lebih cepat untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
Mohamad dan KPKM bersungguh-sungguh mencari kaedah lain supaya tanaman padi dapat dituai dengan lebih cepat untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

Pengenalan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan pada akhir tahun 2021 dan diperhebatkan operasinya serta perhatian penuh daripada menterinya sejak awal 2023, kini membuka mata banyak pesawah di seluruh negara.

Pesawah menyambut baik usaha kerajaan melalui semua agensi di bawah KPKM bagi membantu meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah di semua peringkat.

Paling menarik Smart SBB Ala Sekinchan ini merupakan satu inisiatif baharu yang melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pemain industri dan pesawah. Inilah angin perubahan kepada industri pertanian negara.

Menerusi Smart SBB Ala Sekinchan ini akan melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar di seluruh negara.

Pada 2023, tiga kawasan utama telah dilaksanakan yang juga merupakan projek perintis Smart SBB Ala Sekinchan. Pelaksanaan projek ini di ketiga-tiga kawasan menunjukkan hasil yang sangat baik.

Projek di Kampung Gerai, Besut, Terengganu telah melibatkan 35 pesawah dengan keluasan 65.60 hektar. Purata hasil yang menggunakan benih padi Varieti MR269 ialah 7.0 tan metrik sehektar berbanding sebelumnya 3.81 tan metrik sehektar.

Dua lokasi lagi ialah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) iaitu Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis yang melibatkan 28 pesawah dengan 97.70 hektar dan Kampung Tok Mengkula, Kubang Pasu, Kedah pula melibatkan 51 pesawah dengan 75.628 hektar.


Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak. - Gambar hiasan
Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak. - Gambar hiasan

Pada musim menuai baru-baru ini, pesawah di lokasi seliaan MADA begitu teruja dengan projek itu yang berjaya memberikan hasil sehingga 7.0 hingga 10.45 tan metrik padi bagi setiap hektar berbanding kaedah lama sekadar 5.0 hingga 7.0 tan bagi sehektar pada musim terdahulu.

Banyak pesawah mengharapkan projek seumpama itu dapat dibawa ke negeri mereka bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

Projek itu bukan sahaja mampu menyumbang kepada peningkatan penghasilan beras tempatan malah akan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

Dengan meningkatnya penghasilan padi, ia juga dapat menarik minat generasi muda untuk mengusahakan sawah.

Inisiatif terbaharu ini akan diperluaskan oleh KPKM ke seluruh negara dalam masa terdekat. Amalan pertanian terbaik akan menjamin kelancaran kemajuan projek ini yang akan memanfaatkan para petani sekali gus memantapkan keterjaminan makanan negara.

Pesawah di Sekinchan telah membuktikan dengan ilmu dan teknologi yang baik, mereka mampu mendapat hasil padi sehingga 10 tan per hektar. Kejayaan ini membantu pesawah memperoleh pendapatan yang lebih selesa, ditolak modal menanam bagi musim tersebut.

Antara kaedah amalan pesawah di Sekinchan termasuklah penggunaan teknologi penghasilan tikar semaian, teknologi penyediaan tapak bendang, penggunaan Internet of Things (IOT), penggunaan benih padi yang berkualiti, sumber air yang terjamin dan kemudahan infrastruktur yang lengkap serta penggunaan jentanam.

KPKM sedang memperhebatkan lagi Program Smart SBB Ala Sekinchan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Matlamat program itu untuk menerapkan amalan penanaman padi secara bersepadu menggunakan teknologi moden dan amalan pertanian terbaik demi meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil padi pesawah dan negara.

Apa pun, usaha ini memerlukan kesungguhan pesawah sendiri agar membantu mereka untuk melonjakkan pendapatan sendiri di samping meningkatkan pembangunan industri padi negara ke tahap lebih baik.

ANDIKA SUPARMAN,

Tanjung Karang, Selangor