Projek Empangan Melata dipindah ke tempat lain jika ada bantahan - Abang Jo

Abang Johari (tiga, kanan) merasmikan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching, pada Ahad. Foto Bernama
Abang Johari (tiga, kanan) merasmikan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching, pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek empangan melata di kawasan pedalaman yang mendapat bantahan penduduk akan dilaksana di tempat lain.

Beliau berkata, terdapat laporan bahawa sesetengah pihak membantah pelaksanaan projek itu di kawasan sungai yang berdekatan dengan penempatan penduduk.

"Jika mereka tidak bersetuju, kerajaan akan beralih ke kawasan lain. Mereka berasa curiga, kalau itu keadaannya kita akan pergi ke tempat lain yang orang mahu.

"Sekarang kita laksanakan projek tersebut berdekatan Sungai Kanowit dan Song. Di Kapit, mereka berkehendakkan sumber melata ini dan kita ada teknologi baharu yang saya sebutkan sebagai elevator tank, ini bergantung kepada teori graviti, maksudnya aliran air itu boleh menjana tenaga," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Air Sedunia di sini pada Ahad.

Abang Johari juga berkata, Sarawak tidak akan menggunakan arang batu dalam penjanaan kuasa di loji tenaga Sejingkat dan Balingian selaras dengan usaha negeri itu untuk membangunkan tenaga bersih serta mampan.

Beliau berkata, penjanaan kuasa menggunakan arang batu akan diganti dengan tenaga berasaskan biojisim yang menyaksikan kuasa dijana boleh mencapai lebih 500MW.

"Saya rasa (kapasiti loji tenaga) Sejingkat boleh dinaikkan kepada 1GW seperti teknologi yang saya lihat di Stesen Janakuasa Drax di United Kingdom.

"Drax menggunakan biojisim dan saya kira, kita boleh gunakan hasil biojisim untuk menjanakan kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Abang Johari berkata, Sarawak akan menggunakan model amalan tenaga mampan seperti Drax dalam usaha meningkatkan keupayaan penjanaan tenaga boleh diperbaharuinya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!