Agong, Premier Sarawak boleh stabilkan politik negara - KJ

Khairy dan Shahril ketika podcast 'Keluar Sekejap' yang dimuat naik di platform YouTube pada Khamis.
Khairy dan Shahril ketika podcast 'Keluar Sekejap' yang dimuat naik di platform YouTube pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengemukakan dua perkara yang boleh menstabilkan landskap politik di negara ini iaitu keberadaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, hal ini kerana hanya satu cara yang boleh dibuat untuk membuat sebarang perubahan dalam Parlimen iaitu melalui Istana Negara dengan perbincangan bersama Sultan Ibrahim sendiri.

“Itu pun sama ada baginda nak layan atau tidak dan situasi yang kita hadapi hari ini jelas bahawa ‘tulang belakang’ kerajaan bukannya parti UMNO tetapi Sarawak.

“Sarawak adalah kekuatan untuk Kerajaan Perpaduan, sebab itu Abang Johari tegas menyatakan beliau tak nak dengar lagi cerita ‘Langkah Dubai’ atau Sarawak diberikan kepada perdana menteri lain.

“Negeri tersebut sudah selesa dengan hubungan baik dalam Kerajaan Perpaduan dan saya rasa ia menyebabkan kerajaan mampu bertahan untuk empat tahun akan datang,” katanya pada Khamis.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika podcast ‘Keluar Sekejap’ berdurasi satu jam 37 minit bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di platform YouTube.

Sementara itu, Khairy menyifatkan hubungan antara Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak bakal menjadi suatu perkara yang penting di peringkat Persekutuan dalam tempoh lima hingga 10 tahun nanti.

Tambahnya, hasil daripada jalinan perhubungan terbabit akan dilihat dan dianggap berbeza berbanding situasi yang masyarakat hadapi pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak tahu adalah lebih baik untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi jangkaannya berbeza dengan Semenanjung Malaysia,” ujar beliau.