Legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam meninggal dunia

PEMINAT sukan bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam Awang, 51 yang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Wakaf Baharu, Gong Badak, petang Khamis.
Difahamkan Allahyarham yang merupakan bekas kapten pasukan Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira 6.20 petang akibat penyakit dalaman.
Menurut kenyataan Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarham yang berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi) Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA telah dikejarkan ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sekitar 1 tengah hari pada Khamis akibat penurunan paras oksigen.
Jelas kenyataan itu lagi, Allahyarham telah dibenarkan pulang petang tadi atas nasihat doktor.
"Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kita telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
"Mohon doakan semoga diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
"Sesungguhnya ALLAH lebih menyayangi beliau," kata kenyataan itu pada Khamis.
Zulharisam yang bermain di posisi pertahanan pernah membantu skuad Penyu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah negeri selepas menewaskan Perak 2-1 ketika perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2001.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak telah genap 17 tahun perkhidmatan beliau dengan Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA pada Januari lalu.
Ringkasan AI
- Legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam Awang, meninggal dunia di usia 51 tahun
- Beliau merupakan bekas kapten pasukan Terengganu dan meninggal akibat penyakit dalaman
- Zulharisam bekerja sebagai Pembantu Operasi di Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA
- Beliau berjaya membawa pasukan Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001
- Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
