Jabatan Kesihatan Melaka rampas 4,665 barang makanan

Chee Leong (dua dari kanan) bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali menunjukkan sebahagian barang makanan yang disita ketika operasi Tahun Baru Cina di sebuah pasaraya di Taman Teknologi Cheng di sini hari ini.
Chee Leong (dua dari kanan) bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali menunjukkan sebahagian barang makanan yang disita ketika operasi Tahun Baru Cina di sebuah pasaraya di Taman Teknologi Cheng di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Jabatan Kesihatan Melaka merampas 4,665 jumlah barang makanan bernilai RM75,933 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 bagi tempoh bermula 6 Januari lalu hingga hari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu RM2,106 adalah nilai daripada 253 jenis barang yang dirampas pada hari ini selain lima kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, kompaun yang dikeluarkan termasuk dua notis bernilai RM7,000 atas kesalahan tiada pelabelan alamat pengimport selain satu kompaun disebabkan tiada tanda larangan menjual minuman beralkohol kepada mana-mana individu di bawah umur 21 tahun di kaunter minuman beralkohol yang ditawarkan untuk jualan.

Katanya, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah kesalahan makanan berkulat dan rosak dengan sebanyak 3,449 jumlah barangan disita membabitkan nilai disita RM71,694 setakat tempoh 6 hingga 14 Januari lalu.

"Ia diikuti 741 barangan disita atas kesalahan pelabelan dengan jumlah RM1,003 niai barangan disita, diikuti kesalahan pembungkusan dengan jumlah 167 barangan membabitkan nilai sita barangan RM825.

"Berdasarkan tahun lalu pula sebanyak 11,503 jenis barangan yang telah menyalahi akta itu dengan jumlah sitaan bernilai RM188,359 selain 17 kompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan RM52,000," katanya.

Chee Leong menunjukkan buah oren yang tidak mempunyai label pengimport ketika operasi itu.
Chee Leong menunjukkan buah oren yang tidak mempunyai label pengimport ketika operasi itu.

Artikel Berkaitan:

Chee Leong berkata demikian selepas operasi Tahun Baru Cina di sebuah pasar raya di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.

Tambahnya, JKN akan terus membuat pemantauan dan operasi bukan hanya dari segi penyitaan makanan sahaja, malah melaksanakan pemeriksaan kebersihan premis makanan.

Dalam perkembangan lain Chee Leong berkata, sebanyak 121 premis makanan telah diperiksa dan daripada jumlah itu empat premis telah diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 disebabkan tahap kebersihan tidak memuaskan.

"Manakala bagi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebanyak 99 kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai RM13,815 bagi tempoh yang sama tahun ini," katanya.