Kos pembersihan, kutipan sisa pepejal di Terengganu dijangka meningkat

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peruntukan bagi menampung pembiayaan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal melibatkan 97 zon kawasan tahun ini dijangka meningkat kepada RM81.5 juta berbanding RM78.9 juta pada tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peningkatan itu disebabkan perubahan kadar cukai perkhidmatan (SST) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus berkuatkuasa pada 1 Mac lalu.

Menurutnya, jumlah pembuangan sisa pepejal di tapak pelupusan sempena musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini juga meningkat dua hingga tiga ganda berbanding kebiasaan.

"Purata sampah yang dibuang ialah sekitar 300 tan hingga 400 tan sehari berbanding hari biasa.

"Namun, PBT (pihak berkuasa tempatan) khususnya MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) telah mengaturkan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal berjalan dengan lancar.

"Antaranya, menubuhkan pasukan khas operasi pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal, penyusunan semula jadual sepanjang musim perayaan dan menyediakan lori serta pemandu gantian untuk setiap zon kutipan sisa pepejal agar jadual kutipan tidak tergendala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Selain itu, tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri telah berusaha meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kepada tahap optimum dan mengikut standard piawaian dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.47 juta untuk pembelian tiga jentera skylift.

Artikel Berkaitan:

"Kesemuanya telah diserahkan kepada tiga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

"Kita juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 20,000 kepada MBKT bagi menampung kos sewaan tong 'Roll On Roll Off' (RORO) di 15 lokasi hotspot sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!