Bank Rakyat sasar pembiayaan mikro RM50 juta tahun ini

Ramanan (tengah) pada sidang media sempena sesi taklimat khas di ibu pejabat Bank Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramanan (tengah) pada sidang media sempena sesi taklimat khas di ibu pejabat Bank Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

BANK Rakyat menyasarkan pembiayaan mikro berjumlah RM50 juta kepada usahawan dan syarikat perusahaan mikro sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, sokongan berterusan Bank Rakyat terhadap sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan PMKS.

Menurutnya, langkah tersebut sebagai agenda utama transformasi ekonomi negara menerusi inisiatif Ekonomi Madani yang dirangka berlandaskan faktor kemasyarakatan, nilai dan norma masyarakat yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani.

“Sasaran tahun ini menyamai jumlah pada tahun lalu. Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM50 juta kepada 1,856 usahawan dan syarikat perusahaan mikro,” katanya semasa sidang akhbar di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.

Ramanan berkata, usaha tersebut dapat dilihat menerusi penyaluran pembiayaan mikro Bank Rakyat berjumlah RM43.5 juta kepada perusahaan bumiputera, sementara masyarakat Cina menerima pembiayaan sebanyak RM5.4 juta dan masyarakat India (RM1.04 juta).

“Bank Rakyat adalah bank pembangunan nombor satu. Kalau kita lihat aset Bank Rakyat berjumlah RM117 bilion,” katanya.

Menurut Ramanan, beliau juga mengadakan perbincangan dengan Bank Rakyat untuk kerjasama bersama usahawan PMKS yang dilahirkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken) melibatkan bantuan kewangan dan pinjaman perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Lebih 90 peratus, malah hampir 100 peratus (pelatih Insken) berjaya dalam perniagaan. Saya bincang untuk mempertimbangkan mencari jalan bagi Insken bekerjasama dengan Bank Rakyat,” katanya.

Sementara itu Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat berhasrat sepenuhnya melaksanakan pembangunan strategik usahawan dan koperasi.

Menurutnya, komitmen itu melibatkan penyediaan kemudahan bimbingan pakar dalam bidang khusus dan pengurusan perniagaan yang berkesan.

“Bank Rakyat juga telah melancarkan inisiatif SU.TE.RA pada tahun lalu, platform interaksi menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan.

“Program interaksi termasuk Santai Namun Sampai dan kempen #asalkepompongmenjadi sutera, Penasihat Koperasi dan Usahawan, Bengkel Pembiayaan Islam, Program Mentor Graduan serta Program Pembangunan Vendor juga telah memberikan impak besar,” katanya.