Kadar air di Pulau Pinang dikawal Kerajaan Persekutuan

PBAPP mengenakan caj perkhidmatan bekalan air di negeri ini mengikut peraturan Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada 31 Januari lalu. Gambar hiasan
PBAPP mengenakan caj perkhidmatan bekalan air di negeri ini mengikut peraturan Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada 31 Januari lalu. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenakan caj perkhidmatan bekalan air di negeri ini mengikut peraturan Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada 31 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pathmanathan K berkata, Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2024 ialah peraturan Kerajaan Persekutuan dan bukan peraturan PBAPP atau peraturan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, sejak 2011 Pulau Pinang berhijrah ke Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (NWSIRI), PBAPP terpaksa mematuhi peraturan Persekutuan sebagai operator bekalan air berlesen.

"Sejak 1 Februari lalu, PBAPP secara terbuka mengumumkan dan menghebahkan kadar air untuk Pulau Pinang dalam siaran media yang dilaporkan secara meluas oleh media dalam talian dan cetak, laman sosial dan portal PBAPP serta iklan akhbar.

"Selaras dengan peraturan Persekutuan, PBAPP tidak boleh mengenakan cai perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang pada kadar lebih tinggi (atau lebih rendah) daripada kadar tepat yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pathmanathan berkata, kadar air telah disemak serentak di 10 negeri Malaysia yang lain dan tiga Wilayah Persekutuan, bukan sahaja di Pulau Pinang.

Jelasnya, pada 31 Januari lalu Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menerbitkan peraturan kadar air untuk menyemak semula kadar air di Pulau Pinang.

Katanya, ia termasuk menyemak semula kadar air di 10 negeri lain di Semenanjung Malaysia serta Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kadar air bukan sahaja lebih tinggi di Pulau Pinang tetapi kadar air lebih tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia dan di Labuan," katanya.

Tambah Pathmanatan, kadar air domestik Pulau Pinang untuk 35 meter padu (m³) pertama sebulan adalah yang kedua terendah di Malaysia.

Jelasnya, purata kadar domestik Pulau Pinang untuk 35m³ pertama sebulan adalah RM0.86 setiap m³. Data PBAPP menunjukkan majoriti pengguna domestik Pulau Pinang (77.3 peratus) dibilkan untuk 35m³ atau kurang sebulan pada 2023.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, kadar purata domestik negara adalah RM1 bagi setiap m³.

"Setiap operator bekalan air berlesen lain di Semenanjung Malaysia mengebilkan kadar purata domestik yang melebihi RM0.86 setiap 35m³ untuk 35m³ pertama sebulan, kecuali Terengganu (RM0.69 setiap 35m³).

"Oleh itu, kadar air domestik Pulau Pinang adalah yang kedua terendah di Malaysia. Pengguna air di semua negeri lain di Semenanjung, kecuali Terengganu, membayar lebih untuk bekalan air domestik mereka," katanya.

Beliau menegaskan, adalah tidak benar dakwaan bahawa pengguna air Pulau Pinang membayar lebih untuk perkhidmatan bekalan air kerana PBAPP mengeluarkan bil air dwi-bulanan.

"Bil air dwi-bulanan PBAPP dikira dengan tepat mengikut peraturan Persekutuan, berdasarkan kepada m³ sebulan.

"Oleh itu, kadar air yang sama dikenakan dalam bil air bulanan dan dwi-bulanan di Pulau Pinang," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!