LPP lancar PPBPT, bantu tangani isu bekalan beras

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) sebagai langkah jangka pendek untuk mengawal isu kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan.

Bagi menyokong usaha berkenaan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengambil beberapa pendekatan yang dapat menangani isu tersebut dengan memperluaskan aktiviti pengedaran bekalan makanan itu.

Pendekatan tersebut ditegaskan Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, yang mana ia melibatkan pelaksanaan Program Pengedaran Beras Putih Tempatan LPP (PPBPT-LPP) melalui peranan aktif Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berpotensi di seluruh Malaysia.

“Program ini akan melibatkan sebanyak 103 Pertubuhan Peladang (PP), melalui outlet-outlet pemasaran PP seperti Peladang Outlet, Agrobazar PP dan Kedai Peladang,” katanya kepada pemberita semasa program sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran LPP di sini pada Selasa. Menurut Mahfuz, bermula Mac 2024, kuota bekalan beras putih tempatan kepada LPP telah meningkat kepada 2,500 metrik tan beras sebulan atau bersamaan dengan 250,000 kampit.

“Sehingga 22 April 2024, sebanyak 519.36 metrik tan beras (51,936 kampit) telah dibuat agihan dengan nilai kos belian RM1.324 juta.

“Pada tahun 2023, sebanyak 2,101 metrik tan (210,100 kampit) beras putih tempatan telah dibuat edaran dengan nilai kos belian RM5.537 juta,” ujar beliau.

Kawalan harga benih padi

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz memberitahu pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan kawalan harga maksimum jualan benih padi di peringkat pemborong dan peruncit di bawah Program Insentif Benih Padi Sah Kerajaan (IBPS).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kawalan harga itu selari dengan Resolusi Sekuriti Makanan Negara yang dipersetujui Majlis Penasihat Peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang Kali Ke-71 pada 11 Januari 2024.

“Resolusi tersebut iaitu mencari jalan penyelesaian atau cadangan kepada pemerkasaan benih padi sah dan padi bagi memastikan pengeluarannya dalam negara adalah berkualiti dan mencukupi,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyatakan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan harga lantai belian padi beras daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan metrik telah memberi impak kepada kenaikan harga padi serta kos pengeluaran benih padi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para pengusaha beras bahawa Seksyen 5, Akta Kawalan Padi dan Beras 1944 (Akta 522) menetapkan bahawa maklumat berkaitan dengan harga hendaklah dipaparkan dengan jelas pada setiap kampit yang dipasarkan kepada pesawah, manakala penjualan benih padi dan racun bagi varieti CL220 yang mana ia perlu dijual secara berasingan.

“Justeru itu, harga benih padi sah CL220 perlu dijual dengan harga maksimum RM54 di peringkat pemborong dan RM58 di peringkat peruncit,” jelasnya.

--SH: Jualan Agro Madani LPP

Berkenaan pelaksanaan Jualan Agro Madani LPP, Mahfuz berkata, program itu merupakan pendekatan quick win KPKM dalam membantu pengeluar memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

“Pada masa sama, ia dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui harga penjimatan yang ditawarkan,” ujarnya.

Untuk tahun ini, beliau berkata, LPP menyasarkan pelaksanaan 78 Jualan Agro Madani.

“Sehingga 22 April 2024, sebanyak 34 program itu telah dilaksanakan dengan nilai jualan sebanyak RM1.094 juta dengan penjimatan sebanyak RM136,741,” kata beliau.

Pada tahun 2023, sebanyak 114 program Jualan Agro Madai telah dilaksanakan dengan nilai jualan sebanyak RM2.15 juta dan penjimatan sebanyak RM470,000.

“Bilangan usahawan terlibat adalah seramai 954 orang dan anggaran pengunjung mencecah 250,000 orang,” kata beliau.