Lebih 100 kanak-kanak tonjol bakat di Pertandingan Mewarna Kids Karangkraf

SHAH ALAM - Penganjuran pertandingan mewarna Kids Karangkraf sempena Karangkraf Ramadan Bookfest menerima sambutan yang cukup menggalakkan di mana kira-kira 100 kanak-kanak mengambil bahagian sepanjang sembilan hari acara tersebut berlangsung.
Eksekutif Pemasaran Kids Karangkraf, Nur Azimah Alang berkata, pertandingan terbuka kepada kanak-kanak berusia empat hingga 10 tahun dengan yuran penyertaan hanya RM10.
Jelasnya lagi, ibu bapa tidak perlu khuatir kerana segala kelengkapan alat tulis seperti pensel warna dan buku lukisan disediakan pihak penganjur.
"Memandangkan Ahad sudah hari terakhir, ibu bapa yang ingin membeli buku atau al-Quran di Karangkraf Ramadan Bookfest, sambil itu boleh juga hantar anak mereka sertai pertandingan mewarna Kids Karangkraf.
"Dalam masa sama, mereka boleh menelaah buku-buku dengan tenang. Pendaftaran secara 'walk-in'. Kami adakan pertandingan pada sesi pagi dan petang selama satu jam setengah.
"Cenderamata diberikan untuk semua penyertaan dan hadiah istimewa menanti tiga tempat teratas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nur Azimah turut memaklumkan, pertandingan menulis jawi kanak-kanak akan berlangsung esok dari jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari di pekarangan lobi Karangkraf.
Menurutnya, ia diadakan sempena pelancaran buku Smart Jawi bermula Sabtu dan sesi tersebut bakal dikendalikan oleh penulisnya sendiri iaitu Tcer Lysa.
"Syaratnya ringkas sahaja iaitu beli satu buku Smart Jawi, terus layak masuk pertandingan.
"Terhad kepada 15 peserta terawal sahaja berusia enam hingga 12 tahun. Pensel dan pemadam disediakan.
"Justeru, saya berharap ibu bapa boleh ambil kesempatan ini untuk hantar anak-anak mereka sertai pertandingan supaya ia sedikit-sebanyak membantu mencungkil bakat terpendam dalam diri masing-masing," ujarnya lagi.
Berbaki satu hari lagi, orang ramai dijemput hadir ke Karangkraf Ramadan Bookfest anjuran Buku Karangkraf bertempat di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Selain pelbagai aktiviti menarik disediakan, Buku Karangkraf membawakan pilihan al-Quran dengan lebih 40 variasi, termasuk al-Quran tajwid berwarna, terjemahan perkata, per juzuk serta terjemahan bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelbagai peringkat.

Pelbagai barangan keperluan ibadah turut dijual termasuk telekung, sejadah, sejadah mini dan kurma, menjadikan Karangkraf Ramadan Bookfest sesuai dikunjungi seisi keluarga.
Potongan harga sehingga 25 peratus ditawarkan untuk pembelian buku dan al-Quran, selain pakej istimewa al-Quran bersama rehal yang lebih berbaloi bagi persiapan Ramadan.
Sepanjang 10 hari berlangsungnya acara tersebut, beberapa pertandingan turut dianjurkan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah, antaranya pertandingan nasyid dengan kerjasama Sinar Bestari.
Ringkasan AI
- Pertandingan mewarna Kids Karangkraf diadakan sempena Karangkraf Ramadan Bookfest menerima sambutan hangat dengan penyertaan 100 kanak-kanak
- Pertandingan ini terbuka untuk kanak-kanak berumur empat hingga 10 tahun dan yuran penyertaannya adalah RM10
- Alat tulis seperti pensel warna dan buku lukisan disediakan oleh pihak penganjur
- Pertandingan menulis jawi untuk kanak-kanak juga diadakan dengan syarat pembelian buku Smart Jawi
- Karangkraf Ramadan Bookfest menawarkan pelbagai buku dan al-Quran dengan potongan harga sehingga 25 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

