Angkasa tawar diri jadi pengimport beras

Abdul Fattah (kanan) bersalam dengan sebahagian ahli koperasi selepas merasmikan Mesyuarat Agung Angkasa Kedah di sebuah hotel di Bandar Baru Mergong, pada Sabtu.
Abdul Fattah (kanan) bersalam dengan sebahagian ahli koperasi selepas merasmikan Mesyuarat Agung Angkasa Kedah di sebuah hotel di Bandar Baru Mergong, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menawarkan diri menjadi pengimport beras bagi meningkatkan keterjaminan bekalan beras negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa boleh menjadi pengimport bahan itu melalui kerjasama dengan rangkaian koperasi antarabangsa termasuklah negara jiran.

Kata beliau, pihaknya menerima tawaran dari sebuah syarikat di Thailand untuk mendapatkan bekalan beras dari mereka ketika menghadiri Mesyuarat Pejabat Perniagaan Koperasi Rantau Asia Pasifik awal tahun ini.

"(Bagaimanapun) perkara ini bukan senang kerana kita sudah ada konsesi (beras) yang diberikan kerajaan kepada kumpulan tertentu.

"Jadi, kita harap akan berunding dengan kerajaan (dan) ambil segmen untuk bawah koperasi sahaja untuk ahli koperasi sahaja, dan ini memerlukan perbincangan (dengan pihak berkaitan)," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Angkasa Kedah di sebuah hotel di Bandar Baru Mergong, di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan, Angkasa tidak bercadang mengganggu konsesi lain, sebaliknya hanya ingin mengambil segmen untuk ahli koperasi yang dianggotai seramai 7.3 juta orang.

Dalam perkembangan sama, kata Abdul Fattah, Angkasa turut melihat kepada peluang untuk menawarkan penyelesaian kepada kerajaan dalam pelbagai perkara termasuk isu keterjaminan makanan.

Artikel Berkaitan:

Kongsi beliau, Projek Rintis Ternakan Ayam sadnag berjalan hasil kerjasama sebuah koperasi di Pahang dengan kapasiti sebanyak 32,000 ekor ayam yang sudah diproses akan ditawarkan melalui kedai BA100 dan juga 15 outlet di Lembah Klang.

"Projek Lembu Tenusu Haifers Park masih berjalan dengan kapasiti sebanyak 54 ekor lembu buat masa ini.

"Semenjak bermulanya inisiatif ini, sebanyak 126,271.63 liter susu telah berjaya dihasilkan," katanya.

Selain itu,beliau memaklumkan, Angkasa juga sedang dalam proses membangunkan projek ternakan lembu pedaging yang akan melibatkan Angkasa Kedah dan Perlis dan dijangka akan melibatkan empat koperasi untuk waktu permulaan.

"Kita turut menjalankan inisiatif bersama Lembaga Getah Malaysia di bawah Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) bagi memperkenalkan hasil getah krip premium kepada pengusaha getah dan pekebun kecil getah termasuk dari kalangan koperasi bagi meningkatkan kualiti hasil getah," katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah memaklumkan, Angkasa akan mengadakan Kongres Koperasi Kebangsaan tidak lama nanti.

"Jadi, kita ada empat fokus utama yang nak kita bincang dalam kongres termasuklah identiti dan jati diri koperasi, pemerkasaan akta dan peraturan koperasi, pemerkasaan pendidikan dan modal insan koperasi serta pengukuhan daya saing perniagaan koperasi," katanya.

Menurut beliau, pihaknya hendak meneliti semula kerelevanan dan kesesuaian akta dan peraturan koperasi yang digunapakai supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik melalui kongres itu.

"Akta ini bukan akta koperasi sahaja (tetapi juga) akta-akta dan aturan undang-undang yang tidak mesra kepada koperasi," katanya.

Tambahnya, Angkasa juga ingin melihat Dasar Kewangan dan Fiskal kerajaan yang dilihat tidak memberi kelebihan kepada gerakan koperasi untuk berdaya saing dan berkembang dalam perniagaan.

Katanya lagi, ia termasuklah soal bajet yang dilihat tidak sepadan dengan jumlah koperasi dan ahli koperasi yang terus meningkat setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mohon kerajaan melihat kepada akses kredit yang lebih baik untuk gerakan koperasi melalui Kongres Koperasi Kebangsaan.

"Kita mahu koperasi dapat berkembang dengan lebih baik di mana peluang-peluang yang wujud seperti pekerjaan dan pendidikan dapat disediakan kepada warga Bumiputera sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau yakin Angkasa dapat mencapai perolehan sebanyak RM73 bilion menjelang 2030 seperti disasarkan kerajaan.

Sehubungan itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa akan terus memperkasakan lagi koperasi melalui penerokaan bidang baharu termasuklah teknologi dan kenderaan elektrik (EV) demi merealisasikan matlamat itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!