Pesawah MADA sambut baik kawalan harga jualan maksimum benih padi sah

Laporan Sinar Harian pada 17 April.
Laporan Sinar Harian pada 17 April.
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik pengumuman kawalan harga jualan maksimum benih padi sah di peringkat pemborong dan peruncit di bawah Program Insentif Benih Padi Sah Kerajaan (IBPS).

Dalam kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, peningkatan harga semasa belian padi kepada RM1,800 per tan metrik telah memberi kesan secara langsung kepada kenaikan harga benih padi sah serta lain-lain kos operasi di ladang.

Menurutnya, kesan kepada kenaikan harga ini telah menyebabkan pesawah terpaksa menanggung kos yang agak tinggi bagi menjalankan aktiviti tanaman padi bagi musim ini.

"Pesawah di Kawasan Muda sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas penetapan harga kawalan benih padi sah bagi musim ini.

"Dengan ini, harga benih padi sah bagi setiap kampit 20 kilogram (kg) di pintu kilang ditetapkan pada kadar RM54 kepada peruncit, manakala melalui peruncit pula harga kawalan maksimum jualan benih padi sah bagi setiap kampit 20kg kepada peladang ditetapkan pada kadar RM58," katanya pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, pesawah MADA juga menerima baik penjualan benih padi dan racun bagi varieti padi CL220 dijual secara berasingan.

"Justeru, harga benih padi sah bagi varieti CL220 adalah pada harga maksimum RM54 di peringkat pemborong dan RM58 di peringkat peruncit.

"Had pembelian dan simpanan benih padi di peringkat peruncit juga tidak melebihi 500 kampit (20 kg/kampit) pada satu-satu masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA berkata, merujuk Seksyen 5, Akta Kawalan Padi dan Beras 1944 [Akta 522], maklumat berkaitan harga benih padi sah juga perlu dipaparkan dengan jelas pada setiap kampit benih padi sah dipasarkan kepada peladang.

"Ini secara tidak langsung peladang mendapat maklumat yang jelas berkenaan harga benih padi sah yang dijual bagi musim ini," katanya.

Menurutnya lagi, pihak mereka juga menyambut baik pemakluman ini dalam memastikan bekalan benih padi sah sentiasa mencukupi di pasaran dan benih padi dihasilkan pengeluar berkualiti, sekali gus berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dan KPKM dalam membela nasib mereka.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan MADA menyambut baik pemakluman Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berdasarkan keputusan pihak kerajaan bagi kawalan penetapan harga kawalan maksimum jualan benih padi di peringkat pemborong dan peruncit.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kawalan harga jualan maksimun benih padi itu adalah untuk dijual kepada pesawah bagi Program IBPS.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28