Jangan simpan stok beras kuantiti besar, elak pembaziran

Mohamad (empat dari kanan) bergambar bersama-sama tetamu hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam di sini pada Ahad.
Mohamad (empat dari kanan) bergambar bersama-sama tetamu hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua pihak termasuk orang awam diingatkan tidak menyimpan stok beras dalam kuantiti besar bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lebih baik jika stok sedia ada itu disimpan bagi tujuan sumbangan dan diagihkan kepada golongan lebih memerlukan.

"Jika ada (stok beras), sedekah dan berikan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada masyarakat supaya berpada-pada dan mengelakkan pembaziran makanan semasa musim perayaan Aidilfitri ini.

Beliau berkata, ia susulan daripada dapatan diperoleh daripada konsesi pembersihan Alam Flora iaitu 40 peratus daripada sisa buangan adalah makanan.

"Sisa-sisa buangan makanan ketika bulan Ramadan pula boleh mencapai sehingga 12,000 tan sehari, jadi elakkanlah pembaziran dan bekalan pun tak akan berkurangan," tambah beliau.

Sebelum ini, tular satu rakaman yang memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Video itu mendapat perhatian apabila ia dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok yang kebetulan menggunakan jalan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras untuk menyiasat kejadian berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28