[VIDEO] 'Rakam banyak foto, video sebagai kenangan'

A
A
A

YAN - Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, yang terkorban dalam nahas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) banyak merakamkan gambar dan video sebagai kenangan pada Hari Raya Aidilfitri lepas.

Bagaimanapun, abang sulung mangsa, Abdul Latif Anuar, 46, berkata, dia tidak menyangka itu adalah petanda adik perempuannya akan pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima adik-beradik itu kemudiannya membuat perkongsian gambar dan video dalam kumpulan WhatsApp keluarganya.

"Arwah yang mesra dengan gelaran Kakak kelihatan amat teruja membuat persediaan menyambut Aidilfitri termasuklah memasang langsir berwarna putih dan keemasan.

Arwah Noor Rahiza (duduk, kiri) bergambar bersama ahli keluarganya.
Arwah Noor Rahiza (duduk, kiri) bergambar bersama ahli keluarganya.

"Kemudiannya, dia rakam video dan gambar langsir baharu itu dan kata langsir dan siap pasang dah," katanya ketika ditemui kediaman keluarga mangsa di Perumahan Awam Yan, Jalan Pantai Murni, di sini, pada Selasa.

Abdul Latif berkata, adik perempuannya jarang mencipta memori dengan merakam video dan gambar kenangan.

"Tahun ini, dia buat banyak video termasuklah bersalam-salaman sedangkan sebelum-sebelum ini, tidak buat video pun. Macam sebagai kenangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Latiff, arwah yang mempunyai empat cahaya mata juga bersemangat memasak juadah kuetiau kari pada pagi Syawal untuk dinikmati semua.

Disebabkan itu, menurut kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Yan itu, dia terkejut apabila dimaklumkan berita nahas melibatkan Noor Rahiza daripada suami mangsa, Azinor Azizan, 40-an.

"(Adik ipar) cakap (tolong) datang Perak dalam keadaan sebak. Suami (arwah) kata berlaku nahas helikopter, mayat tidak jumpa," katanya.

Abdul Latif menunjukkan foto kenangan adik perempuannya bersama keluarganya.
Abdul Latif menunjukkan foto kenangan adik perempuannya bersama keluarganya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat pergi disebabkan perlu menjaga isterinya yang menghidap strok dan meminta adik lelakinya ke Perak untuk membuat pengecaman mayat.

"Arwah memang seorang yang ceria dan happy go lucky, sekali gus penyeri hidup kami. Jadi, saya tidak menyangka itu adalah petanda dia akan pergi selama-selamanya," katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Wardatul Amani Abdul Majid, 40, berkata, dia sememangnya rapat dengan adik iparnya itu.

"Walaupun, saya hanyalah kakak ipar namun kami macam keluarga sendiri dan tiada rahsia antara kami dan sering berkongsi cerita," katanya.

Tambah beliau, kehilangan Noor Rahiza pastinya meninggalkan kesan kepada bapa mertuanya, Anuar Hassan,70-an, yang amat menyayangi arwah.

Wardatul sebak ketika menceritakan tentang adik iparnya yang terlibat nahas helikopter TLDM di Perak.
Wardatul sebak ketika menceritakan tentang adik iparnya yang terlibat nahas helikopter TLDM di Perak.

Wardatul menambah, mereka sekeluarga mengambil masa agak lama untuk memaklumkan khabar sedih itu kepada bapa mertuanya yang mempunyai penyakit jantung dan Parkinson.

"Kebiasaannya, arwah akan pulang dua minggu sekali untuk membawa ayah mertua saya menjalani pemeriksaan di hospital dan ayah juga tinggal dengan Kakak sebelum ini," katanya.

Menurutnya, mereka reda dengan kehilangan arwah meskipun sedih dan masih terkejut apabila menerima khabar tentang nahas helikopter itu.

Jenazah Noor Rahiza dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Noor Rahiza adalah salah seorang dari 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM ketika mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!