Helikopter terhempas: 'Komander Firdaus mudah kerjasama dengan media'

Gambar kenangan Muhammad Firdaus (kiri) dan Safwan (tiga dari kiri) ketika menjalani tugasan tinjauan udara semasa liputan media sempena sambutan Hari Raya dengan menggunakan helikopter HOM AW139 di perairan Kota Kinabalu.
Gambar kenangan Muhammad Firdaus (kiri) dan Safwan (tiga dari kiri) ketika menjalani tugasan tinjauan udara semasa liputan media sempena sambutan Hari Raya dengan menggunakan helikopter HOM AW139 di perairan Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemergian Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar di sini, turut dirasai sebahagian rakan media di Sabah yang pernah bekerjasama dengan beliau.

Wartawan TV3 Sabah, Safwan Sawi berkata, mereka baru saja membuat liputan di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM di Sepanggar bersama Allahyarham pada 12 April.

"Walaupun baru kali pertama berjumpa, namun beliau sangat mudah untuk bekerjasama dengan media yang membuat liputan.

"Malah beliau juga seorang yang peramah sebelum memulakan sesi temubual sempena sambutan Aidilfitri warga TLDM tahun ini.

"Namun, saya sendiri tidak menyangka namanya tersenarai sebagai salah satu mangsa dalam nahas tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengimbas kembali liputan berita ketika itu, Safwan memaklumkan mereka mengambil masa beberapa jam untuk menjalankan tugasan di mana Allahyarham yang mengendalikan helikopter HOM AW139 membawa Panglima Armada Timur membuat tinjauan udara.

"Allahyarham ada memaklumkan mahu tugasan mereka hari itu selesai lebih awal kerana mahu pulang ke Semenanjung untuk beraya bersama keluarganya.

"Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu dengannya sebelum disahkan antara korban dalam nahas helikopter yang dikendalinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, dua helikopter TLDM iaitu pesawat HOM (503-3) dan Fennec dilaporkan terhempas ketika menjalani latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!