'Wajah tenang seperti tidur'

Mohd Termizi menunjukkan gambar Mohd Shahrizan yang telah berkhidmat dalam TLDM sejak 20 tahun lalu.
Mohd Termizi menunjukkan gambar Mohd Shahrizan yang telah berkhidmat dalam TLDM sejak 20 tahun lalu.
A
A
A

LUMUT - "Wajah tenang seperti tidur," kata Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, bapa kepada Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan, 41, yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa.

Mohd Shahrizan merupakan salah seorang kru pesawat Fennec yang terlibat mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bersama Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).

Pesara kerajaan itu berkata, walaupun jasadnya tidak sempurna, dia dapat mengecam wajah anak sulungnya itu di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

"Dua kali masuk buat pengecaman bersama isteri (Hasnah Yasin, 67) dan anak.

"Keadaan muka Along okay, tiada apa-apa. Difahamkan doktor beritahu dia mengalami kecederaan tangan dan kaki... split (putus)," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Lekir di sini.

Tambah Mohd Termizi, dia bergegas menuju ke Pangkalan TLDM selepas menerima perkhabaran kemalangan melibatkan arwah sekitar jam 10 pagi.

Mohd Termizi
Mohd Termizi

"Dalam perjalanan dari Ipoh, saya ingatkan helikopter dinaikinya terhempas ringan dan sepanjang perjalanan saya berdoa agar semuanya selamat.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi terlampau ramai yang telefon semua beritahu yang Along sudah tiada. Saya reda kerana tahu kerjaya dia sangat berisiko tinggi dan berbangga kerana dia berkhidmat untuk negara," katanya.

Menurut Mohd Termizi, arwah disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap kedua-dua ibu bapanya dan adik-beradik.

"Kali terakhir jumpa Sabtu lalu ketika datang ke rumah. Along tidak menunjukkan sebarang perubahan melainkan beritahu terlibat dalam latihan (raptai).

"Tahun ini juga menjadi kenangan terindah apabila kesemua anak dan cucu dapat berkumpul bersama menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau ikutkan sebelum ini susah hendak berkumpul kerana dua anak lain turut berkhidmat dalam tentera darat," katanya.

Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan
Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan

Allahyarham Mohd Shahrizan meninggalkan seorang balu, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, dan tiga anak masing-masing berusia 21, 18 dan 15 tahun.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 dekat Lekir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!