Dua lelaki disyaki edar dadah ditahan dalam ladang kelapa sawit

Dua lelaki dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak pada 11 dan 12 Februari lepas. Gambar hiasan
Dua lelaki dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak pada 11 dan 12 Februari lepas. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Dua lelaki dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak pada 11 dan 12 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis turut merampas 37 peket heroin berjumlah 47.94 gram dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Komuniti Kepolisan itu.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 11 Februari, seorang lelaki lingkungan 40an diberkas dan 17 peket disyaki berisi heroin seberat 22.46 gram ditemukan.

"Susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan kedua pada 12 Februari di kawasan sama dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan awal 30an," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek kedua membawa kepada penemuan 20 peket plastik lut sinar disyaki berisi heroin seberat 25.48 gram.

Christopher berkata, kegiatan itu dipercayai aktif sejak sebulan lepas dan menyasarkan pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas yang bernilai RM1,050 dianggarkan boleh digunakan oleh 238 penagih,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Polis turut menyita dua motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM10,500.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Februari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama

 

Ringkasan AI

  • Dua lelaki ditahan kerana terbabit pengedaran dadah di ladang kelapa sawit Tanjung Minyak
  • Polis merampas 37 peket heroin berjumlah 47.94 gram
  • Kegiatan pengedaran dadah dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan menyasarkan pasaran tempatan
  • Jumlah dadah dirampas bernilai RM1,050 dan boleh digunakan oleh 238 penagih
  • Kedua-dua suspek positif dadah, mempunyai rekod jenayah, dan motosikal mereka disita

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!