Fokus bajet mendesak, kurangkan perbelanjaan 'kosmetik'

Ahmad Shah
Ahmad Shah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri disarankan supaya memberi fokus terhadap pelan perbelanjaan penting yang lebih mendesak serta mengurangkan perbelanjaan 'kosmetik' yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahmad Shah Muhamed (Bandar-Pas) ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Jelas beliau, perbelanjaan yang dilaksanakan perlu menyantuni rintihan dan keperluan mendesak rakyat.

"Kurangkan perbelanjaan yang berbentuk kosmetik dan sedap pada halwa telinga tapi hakikatnya rakyat marhaen tak dapat apa-apa.

"Utamakan projek dan program berbentuk 'low hanging fruits' yang menggunakan bajet rendah tapi hasil cepat dinikmati. Kenal pasti di mana rakyat kita berada. Jangan berfikir secara awangan. Pastikan setiap penyaluran program sampai kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berdepan isu kewangan disebabkan royalti yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat, kerajaan perlu terus serius dan fokus dalam melaksanakan rancangan dan program yang ditetapkan.

"Setiap Exco dan portfolio mesti terus berfungsi. Cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan. Manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi perlaksanaan program dan projek daripada kementerian.

"Saya difahamkan bahawa portfolio Pertanian telah berjaya mendapatkan RM10.7 juta bajet daripada Kementerian Pertanian," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Shah, majoriti rakyat Terengganu bergantung sumber ekonomi kepada sektor pertanian, perkhidmatan dan pelancongan sekali gus menjadi sektor yang sepatutnya menjadi tumpuan negeri.

"Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 telah melabuhkan tirai dengan outcome yang positif dalam sektor perikanan terbukti telah mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin.

"Sebanyak 13,143 tan telah berjaya direkodkan sepanjang tahun 2023. Kita berharap Pelan Strategik Pertanian Terengganu untuk sesi 2024-2028 akan melakar kejayaan yang lebih besar daripada itu," katanya.

Zuraida
Zuraida

Sementara itu, pada sesi perbahasan sama, Zuraida Md Noor (Ladang-Pas) pula berkata, Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang dikenali sebagai New Income Terengganu (NIT) merupakan langkah tepat setelah berdepan dengan tekanan bayaran royalti.

Katanya, permintaan terhadap minyak yang dijangka menurun sekitar 25 peratus menjelang 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar memberi kesan kepada pendapatan Negeri Terengganu dalam tempoh masa yang panjang.

"Pelaksanaan NIT yang terancang diharap akan memberi dorongan yang signifikan dalam pemulihan kewangan negeri dan kerajaan dapat mencapai matlamat peningkatan ekonomi negeri dengan sokongan sepenuhnya daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta serta kerjasama daripada pelbagai pihak.

"Saya hargal Pelan NIT mesti dijayakan dengan kadar segera dan agresif oleh pihak kerajaan sekurang-kurangnya meningkatkan pendapatan baharu Terengganu, 8 hingga 10 peratus sesuai dengan sasaran yang diletakkan Menteri Besar bagi tahun 2024," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!