Anggota APM meninggal dunia selepas koma 44 hari

Jenazah Allahyarham Muhammad Afiq Ammar dikebumikan di Kampung halamannya di Pulau Pinang. Foto ihsan APM
Jenazah Allahyarham Muhammad Afiq Ammar dikebumikan di Kampung halamannya di Pulau Pinang. Foto ihsan APM
A
A
A

SEREMBAN - Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang meninggal dunia pada Isnin selepas rebah dan disahkan koma sejak 9 Mac lalu ketika menjalani latihan di Port Dickson.

Allahyarham Muhammad Afiq Ammar, 25, yang dipercayai terkena strok haba pada mulanya dimasukkan ke Hospital Port Dickson namun dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini selepas kesihatannya semakin merosot.

Pengarah APM Negeri Sembilan, YS Leftenan Kolonel (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, ketika kejadian Allahyarham sedang mengikuti latihan sebagai calon pemilihan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) di Port Dickson.

"Ketika itu dia sedang mengikuti latihan berlari sejauh tujuh kilometer sebelum tiba-tiba rebah.

"Selepas itu arwah terus dimasukkan ke Hospital Port Dickson, namun telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar baru-baru ini selepas kesihatannya semakin merosot," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sejak dimasukkan ke hospital, Allahyarham terus tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada semalam selepas 44 hari menjalani rawatan.

Ujarnya, jenazah Allahyarham telah dibawa ke kampung halamannya di Pulau Pinang malam Isnin.

"Saya boleh katakan asalnya kes ini disebabkan strok haba dan ketika pemilihan dibuat keadaan cuaca agak panas.

Artikel Berkaitan:

"Tapi di peringkat kita memang ada sediakan stesen-stesen air untuk peserta minum sejukkan badan, " katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!