Semua ahli Parlimen wajar dilayan sama rata - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Semua ahli Parlimen yang telah diberikan kepercayaan oleh pengundi sepatutnya dilayan sama rata dan saksama walaupun dari parti berbeza.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia hendaklah berpegang kepada hubungan Persekutuan dan negeri atas perjanjian pembentukan Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan kepada itu, setiap pihak memainkan peranan masing-masing setelah berakhirnya pilihan raya dan pembentukan sesebuah kerajaan.

“Saya harap ahli Parlimen dapat bincang sebaiknya, bincanglah atas sikap hubungan Persekutuan-negeri, bukan berlandaskan hubungan parti dengan parti.

“Kerajaan Persekutuan berhubung dengan kerajaan negeri atas satu perjanjian dalam pembentukan Malaysia. Kita sudah selesai pilihan raya, sudah ada peranan masing-masing antara negeri dan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini pada Ahad.

Menteri Besar Kedah itu tegaskan agar perbincangan dilakukan atas platform kerajaan dengan kerajaan, bukan atas kapasiti politik sempit.

“Jangan asyik berkira untuk parti sebelah sana saja,” ujarnya.

Sanusi juga berharap agar tiada syarat ketat dikenakan dalam penyaluran peruntukan terbabit memandangkan ia merupakan tawaran daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Berkaitan syarat itu saya tak tahu, saya harap tidak ada syarat apa-apalah, agih secara saksama,” ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat dua syarat utama dalam terma draf memorandum persefahaman (MoU) agihan peruntukan tahunan pembangunan kawasan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dijangka menjadi titik fokus perundingan antara wakil kerajaan dan delegasi blok pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, susulan itu, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!