Tak boleh satukan duit raya anak-anak, kemudian bahagi sama rata

KEPADA ibu bapa, elakkan daripada mencampuradukkan semua duit raya yang diperoleh anak dan dibahagikan sama rata kepada mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
KEPADA ibu bapa, elakkan daripada mencampuradukkan semua duit raya yang diperoleh anak dan dibahagikan sama rata kepada mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

APABILA diberikan duit raya, anak-anak kecil pasti akan menyerahkannya kepada ibu bapa masing-masing untuk disimpan.

Andai mereka terlupa, ibu dan ayah akan cepat-cepat mengingatkan anak-anak untuk segera menyimpannya. Bukan apa, bimbang jika pemberian orang diletakkan merata-rata hingga dikhuatiri hilang begitu sahaja.

Ya, begitulah yang dilakukan kebanyakan daripada kita. Kepada ibu bapa yang menyimpan duit raya anak-anak, berwaspadalah dan usah menganggap ia sebagai suatu tugasan enteng.

Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak ramai. Adakalanya wang itu bercampur baur antara seorang anak dengan anak yang lain hingga sukar diketahui siapa pemiliknya.

Akhirnya, ada ibu bapa yang mengambil penyelesaian mudah iaitu dengan mengira semua duit yang diperoleh dan dibahagikan sama rata dengan anak-anak mereka.

Ketahuilah bahawa kita tidak boleh berbuat demikian.

Demikian yang ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami) Kebangsaan, Ustaz Ahmad Hafiz Mohd Rozmizi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hafiz Al Za’farani di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

USTAZ HAFIZ AL ZA'FARANI
USTAZ HAFIZ AL ZA'FARANI

Jelas beliau, setiap duit raya yang diperoleh oleh anak-anak sama ada lebih atau kurang, maka ia milik masing-masing.

“Ibu bapa tidak boleh ambil hak abang untuk diberikan kepada adik supaya sama banyak kerana duit raya abang adalah hak abang. Duit raya adik adalah hak adik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan.

Walaupun terdapat orang tua yang menggunakan alasan bahawa mereka telah memaklumkan atau meminta izin daripada anak-anak untuk membahagikan duit raya itu sama rata, pendakwah itu mengingatkan, jawapannya tetap tidak boleh dilakukan bagi anak-anak yang belum baligh.

Ini kerana, katanya, kanak-kanak belum baligh tidak mempunyai kelayakan yang cukup dari segi syarak untuk membuat sebarang pengeluaran harta atau pelepasan hak hartanya seperti sedekah, hibah, memberi pinjam dan seumpamanya.

SETIAP duit raya yang diperoleh oleh anak-anak sama ada lebih atau kurang, maka ia milik masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SETIAP duit raya yang diperoleh oleh anak-anak sama ada lebih atau kurang, maka ia milik masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaili menyebut, kanak-kanak belum baligh tidak sah melakukan tindakan mengeluarkan harta miliknya seperti hibah dan sedekah walaupun dengan izin ibu bapa atau wali.

“Oleh itu, tindakan ibu bapa yang menyamaratakan duit raya anak-anak dengan mengambil hak anak yang lain adalah salah dan tidak sah dari sudut syarak,” terangnya.

Bagi mengatasi masalah jumlah duit raya yang tidak sama antara anak-anak tadi, Hafiz Al Za’farani mengesyorkan agar ibu bapa menggunakan duit sendiri untuk menambah pada duit raya anak yang terkurang.

Sementara itu, Pengerusi Islami Kedah, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub yang lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menegaskan, duit raya anak adalah hak mereka.

USTAZ WADI ANNUAR
USTAZ WADI ANNUAR

“Ibu bapa perlu amanah dengan harta anak dan tidak boleh diambil sesuka hati.

“Kalau ibu bapa sudah guna tanpa terdesak dan tidak terkait dengan anak, maka wajib ganti semula duit tersebut,” katanya sebagaimana dikongsikan dalam hantaran di laman sosial Facebook Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia - ISLAMI.