'Saya nak kaki, rindu nak berjalan' - OKU kudung

Stewa yang kudung kaki kirinya akibat penyakit saraf empat tahun lalu.
Stewa yang kudung kaki kirinya akibat penyakit saraf empat tahun lalu.
A
A
A

TUMPAT - “Saya nak kaki, rindu nak berjalan,”. Itu permintaan seorang warga emas kudung kaki kiri yang terpaksa dipotong akibat penyakit saraf empat tahun lalu.

Ibu kepada lapan anak itu, Stewa Senik, 74, berkata, dia perlukan kaki palsu untuk kembali berjalan dan mencari daun pucuk nipah untuk dijual.

Menurutnya, dia ketika ini hanya mampu mengesot dan duduk sambil melakukan kerja-kerja menyepat daun pucuk nipah untuk digunakan sebagai rokok tembakau.

Stewa (empat dari kiri) ketika menerima kunjungan Persatuan Bulan Sabit Merah Tumpat di rumahnya sebelum ini.
Stewa (empat dari kiri) ketika menerima kunjungan Persatuan Bulan Sabit Merah Tumpat di rumahnya sebelum ini.

“Saya tidak boleh duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja dan cepat bosan lebih-lebih lagi bila sudah tak boleh berjalan.

“Dulu, saya sendiri yang mendayung perahu menyeberangi sungai untuk mengutip daun nipah, tetapi kali ini hanya mendapatkan bantuan anak manakala saya hanya dapat menyepat daun nipah di beranda rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Joh pada Sabtu.

Menurut wanita itu, dia mendapat hasil RM15 bagi jualan seikat daun nipah seberat kira-kira 200 gram dan mampu menyepat seharian dengan menggunakan sebelah kaki kanannya yang masih ada.

Stewa menggunakan kaki kananya untuk menyepat daun nipah.
Stewa menggunakan kaki kananya untuk menyepat daun nipah.

Artikel Berkaitan:

“Saya rindu nak kembali berjalan, jika boleh pakai kaki palsu dan kembali berjalan, saya nak melawat ke rumah anak-anak.

“Saya juga tidak mempunyai kerusi roda atau tongkat menyebabkan sukar untuk bergerak selain mata kanan buta kerana selaput,” katanya.

Stewa bagaimanapun menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM400 sebulan bagi menyara kehidupannya.

Anak-anak Stewa berusia antara 29 hingga 53 tahun dan antaranya bekerja sebagai nelayan serta mencari lokan.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Stewa Senik Bank Simpanan Nasional 0300841000107582.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!