Warga emas pandu lawan arus tampil serah diri

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan bahaya seorang pemandu warga emas yang memandu secara melawan arus di Jalan Mahkota Jumaat lalu.
Tangkap layar video tular memaparkan tindakan bahaya seorang pemandu warga emas yang memandu secara melawan arus di Jalan Mahkota Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas yang dikesan memandu secara melawan arus dan mengabaikan isyarat lalu lintas di Jalan Mahkota di sini seperti yang tular di laman sosial sejak Sabtu telah hadir menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuantan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, warga emas berusia 71 tahun itu datang ditemani waris.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi kompeten untuk memandu kenderaan.

"Kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan didaftarkan atas nama salah seorang anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menyedari video tular itu kira-kira jam 2.30 petang selepas dikongsi seorang pengguna Facebook.

"Video terbabit memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu seorang lelaki bersama penumpang bergerak dalam keadaan melawan arus.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11 pagi Jumaat lalu di Jalan Mahkota berhampiran sebuah pasar raya di sini dan pemandu tersebut didapati memandu secara melulu melawan arus dari arah Jalan Mahkota ke arah Jalan Bank," jelasnya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Notis saman di bawah seksyen sama juga dikeluarkan ke atas suspek atas kesalahan pengabaian isyarat lalu lintas (lawan arus)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!