Lebih 1,000 lelaki buat aduan jadi mangsa gangguan seksual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aduan berkaitan gangguan seksual terhadap golongan lelaki semakin meningkat di negara ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jerayawara Kasih KPWKM @ Antigangguan Seksual menerima lebih 1,000 aduan gangguan seksual terhadap lelaki membabitkan pelbagai peringkat usia, sejak program itu dilancarkan pada tahun lepas.

"Pada permulaan program ini, hanya berbelas (aduan gangguan seksual terhadap lelaki) kami terima. Mungkin mereka tidak mahu melaporkannya kepada pihak polis tetapi mereka berani buka cerita kepada kaunselor kita.

"Ada lebih 1,000 pengadu (lelaki) datang melaporkan kepada kaunselor (KPWKM) dan minta nasihat daripada KPWKM (berkaitan gangguan seksual dialami mereka),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @ Antigangguan Seksual serta pelancaran Kempen "Zero Sexual Harassment on Campus” anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.

Mengenai Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), Nancy berkata, tribunal berkenaan mula beroperasi pada 11 Mac lepas dan sedang meneliti serta mengkaji setiap aduan diterima bagi tindakan susulan.

"Penting kita dengar dulu kes-kes sama ada bersesuaian untuk ambil tindakan (daripada segi undang-undang) dan mereka akan beri nasihat. Jadi sebab itu dari segi statistik ketika ini agak belum tinggi sangat, namun sudah ramai yang bertanya (mengenai TAGS),” katanya.

TAGS ditubuhkan untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024 dan menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mengendalikan aduan dengan cepat, mudah dan kos minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku bagi mendapatkan hak tebus rugi akibat gangguan yang dialami. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!