Wanita rugi RM131,500 ditipu 'scammer' menyamar pegawai polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEGAMAT - Seorang wanita kerugian RM131,500 selepas diperdaya 'scammer' yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan mendakwanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita berkenaan yang berusia 52 tahun pada Rabu.

"Menurut mangsa, sekitar Mac lalu dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai khidmat pelanggan Pos Laju dan memberitahu terdapat barang salah yang didaftarkan atas nama wanita berkenaan.

"Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada IPK Perak bagi tujuan penyelesaian kes. Wanita itu telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mendakwa wanita itu mempunyai rekod jenayah dan terlibat dengan pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kemudian disambungkan dengan panggilan seterusnya dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan menyatakan wanita itu dikenakan waran tangkap sekiranya tidak patuh arahannya.

Katanya, mangsa kemudian diminta membuat laporan secara dalam talian dan diarahkan untuk mengikut segala arahan yang diberikan.

Disebabkan takut dan panik katanya, mangsa telah mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun bank miliknya dan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek.

"Pada mulanya wanita itu berasa curiga, namun suspek memberikan alasan bahawa wang simpanan yang dipindahkan ke akaun bank tersebut adalah bertujuan untuk proses kemas kini dan pembersihan akaun bank miliknya.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga memberi alasan, pemilik kepada akaun-akaun bank yang menjadi destinasi kemasukan kewangan milik wanita berkenaan adalah merupakan juru audit yang terlibat dalam membantu menyelesaikan kes atas nama mangsa seperti yang didakwa," katanya.

Katanya lagi, mangsa juga diminta melaporkan lokasi dan aktivitinya setiap satu sehingga dua jam kepada suspek melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa akhirnya sedar semua itu satu penipuan selepas menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya sebelum membuat laporan polis.

Tambah Swie Chait, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.

Orang ramai juga katanya, disarankan sentiasa mengambil tahu trend terkini jenayah komersial dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

"Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian semak mule menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang pembayaran atau transaksi dalam talian serta memuat turun aplikasi 'whoscall' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan," ujarnya.

Sekiranya sudah menjadi mangsa penipuan katanya, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada masuk akaun suspek.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!