Dua individu rugi RM2.46 juta ditipu 'scammer'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua individu mengalami kerugian RM2.46 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dan penyamaran dalam talian.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, kedua-dua mangsa berusia berumur 44 dan 45 tahun membuat laporan pada Sabtu.

"Mangsa pertama, pengurus syarikat swasta ditipu aplikasi pelaburan yang menawarkan keuntungan.

"Lelaki berkenaan telah berurusan dengan seorang suspek dalam aplikasi tersebut dan membuat bayaran RM1.06 juta.

"Bagaimanapun, pengadu tidak dapat keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut malah disuruh membuat bayaran tambahan," jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut M Kumar, mangsa kedua pula melibatkan seorang wanita yang menerima panggilan daripada individu daripada syarikat penghantaran mendakwa mangsa mempunyai bungkusan mengandungi barangan terlarang.

"Mangsa yang merupakan peniaga kemudiannya telah disambungkan kepada dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan atas nama pengadu.

"Suspek menawarkan untuk membantu dengan syarat perlu mengikut segala arahan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan takut ditangkap dan dikenakan undang-undang, pengadu memasukkan wang RM1.4 juta ke dalam akaun bank diarahkan suspek," katanya.

Sehubungan itu, M Kumar menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.

“Mereka juga diminta mengikuti laman sosial rasmi polis Johor untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung modus operandi digunakan sindiket penipuan dalam mendapatkan keuntungan mudah.

“Manakala bagi tujuan menyekat sebarang transaksi meragukan melibatkan akaun bank, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997,” ujarnya.