Konflik Iran-Israel: Beri penghargaan atas ketegasan Anwar

Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama
Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung konflik antara Iran dan Israel harus dipuji, kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan.

Beliau berkata, ketegasan Perdana Menteri itu membuatkan Malaysia dilihat sebagai sebuah negara 'kecil' yang berani menyatakan pendiriannya pada saat pemimpin negara lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Dalam perkara ini, kita patut beri penghargaan (atas) ketegasan Perdana Menteri yang berani, bukan secara sorok-sorok (tetapi) berterus-terang (menunjukkan) kita bersama-sama dengan Iran dalam perkara ini,” katanya ketika menjadi tetamu pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam Isnin.

Azmi berkata, perbezaan mazhab tidak seharusnya menjadi isu memandangkan negara Barat sememangnya mahu menekan Iran bagi menukar kepimpinan di negara itu.

"Dalam isu Palestin, Malaysia bersama Brunei menyokong Palestin secara terang-terangan. Dalam isu Iran ini sama juga hanya Malaysia dan Brunei yang nampaknya menyokong Iran, lebih-lebih lagi Malaysia yang amat berterus-terang menyokong Iran.

"Kalau kita baca kenyataan Wisma Putra mengenai konflik ini, mereka menyatakan Iran berhak mempertahankan diri sendiri mengikut Perkara 41 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan konflik antara Iran dan Israel itu tidak akan berpanjangan sehingga membawa kepada tercetusnya perang dunia ketiga seperti yang banyak digembar-gemburkan.

"Saya percaya Israel tidak akan melakukan serangan balas kerana (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu berada dalam kedudukan paling lemah sekali untuk mendapat sokongan antarabangsa. Apa yang berlaku di Gaza itu (menyebabkan) sukar bagi beliau (mendapatkan sokongan), jadi tiada sebab untuknya memanjangkan konflik ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28