Konflik Iran-Israel: KPT terus pantau keadaan pelajar di Timur Tengah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau keadaan pelajar Malaysia di Timur Tengah, susulan situasi terkini konflik yang tercetus antara Iran dan Israel.

KPT menerusi satu kenyataan menjelaskan, pihaknya menerusi pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Amman, Jordan bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan pelajar di sana.

"Pemantauan itu bagi memastikan tindakan lanjut yang boleh diambil bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar kita," katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, KPT juga memaklumkan perbincangan turut diadakan dengan pihak berkaitan untuk sebarang tindakan lanjut, termasuk sekiranya ada keperluan untuk membawa pulang pelajar dari negara berkaitan.

"Mengikut rekod semasa pelajar Malaysia yang berdaftar adalah seramai 1872 orang di Jordan, 37 orang di Syria, lapan orang pelajar di Iran dan tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq pada ketika ini," katanya.

Ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh terus menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau e-mel di alamat mwtehran@kln.gov.my mwconsular.teh@gmail.com.

Bagi ibu bapa pelajar di Jordan, mereka boleh menghubungi kedutaan Malaysia di Amman di talian (+962) 6590 2400 (+962) 78590 2400 atau e-mel di alamat mwamman@kln.gov.my amm.uhep@gmail.com.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: