[VIDEO] Polis Kedah ketat kawalan sempadan kesan suspek kes tembak di KLIA

A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis Kontinjen Kedah sentiasa dalam keadaan bersiap siaga mengetatkan kawalan sempadan secara optimum bagi mengesan suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, ia susulan kenyataan yang mengatakan suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, kemungkinan melarikan diri ke utara.

Menurut Fisol, kesiapsiagaan pasukan terutama yang berada di kawasan sempadan ketika ini berada pada tahap tertinggi.

Fisol
Fisol

"Kesiapsiagaan kita di sempadan...sentiasa bersedia sehingga ke tahap optimum, insya-ALLAH.

"Selain daripada daerah-daerah yang bersempadan terus contoh di negeri Kedah ini ialah Kubang Pasu dan Padang Terap, elemen-elemen daerah di situ, cawangan khas kita akan sokong dari segi penyaluran maklumat ataupun perkongsian maklumat," katanya.

Fisol menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dengan Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail (kanan).
Fisol menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dengan Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail (kanan).

Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dengan Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Fisol berkata, pihak polis turut menggerakkan koordinasi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah bersedia dari awal.

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum mengenai seorang lelaki dipercayai pengawal peribadi.

Ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan di mana siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melarikan diri ke utara.

Menurutnya, suspek turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan satu kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!