Tembakan di KLIA: Polis Perlis laksana SJR, elak suspek lolos

Muhammad (kiri), dan laporan Sinar Harian.
Muhammad (kiri), dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kawalan sempadan melibatkan Malaysia-Thailand khususnya di Perlis dipertingkatkan bagi mengelakkan suspek insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemantauan dipertingkatkan dengan koordinasi bersama pihak Bukit Aman serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Susulan kejadian itu kita telah menggerakkan serta menambahkan keanggotaan bagi memantau beberapa kawasan terutamanya berdekatan sempadan di negeri ini.

"Selain itu, beberapa sekatan jalan raya (SJR) turut dijalankan di kawasan berkaitan, selain kerjasama dengan pihak PGA bagi memastikan suspek tidak bolos," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, pemantauan yang dijalankan setakat ini tidak mengesan sebarang individu mencurigakan.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai melarikan diri ke utara tanah air.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran kepada suspek, Hafizul Harawi, 38, agar bekerjasama dan menyerahkan diri di mana-mana balai polis.

Jelas beliau, semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri terdekat dan bersempadan dengan negara jiran telah digerakkan bagi mengesan suspek.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum mengenai seorang lelaki dipercayai pengawal peribadi dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA di sini.

Mangsa yang dilaporkan ditembak di bahagian perut itu kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!