Tembakan di KLIA: Suspek ada tiga rekod jenayah lampau

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan gambar suspek yang diburu dalam kejadian kes tembakan di KLIA pada Ahad.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan gambar suspek yang diburu dalam kejadian kes tembakan di KLIA pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Suspek yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Ahad disahkan memiliki rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 38 tahun itu memiliki tiga rekod lampau.

Menurutnya, dua rekod ialah kes ugutan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu lagi kes babit curi dan menyamar sebagai penjawat awam yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Isteri suspek sebelum ini ada buat dua laporan polis babit kes ugutan jenayah terhadapnya oleh suspek (suami) dan terbaharu kes dilaporkan pada Disember tahun lalu.

"Hasil laporan itu suspek telah ditahan polis dan kita sedang tunggu beberapa arahan lanjut (timbalan pendakwa raya).

Sidang akhbar Mohd Shuhaily di lokasi kejadian pada Ahad.
Sidang akhbar Mohd Shuhaily di lokasi kejadian pada Ahad.

"Susulan insiden akhir itu (Disember tahun lalu) itulah, dipercayai wanita terbabit membuat keputusan menggajikan pengawal peribadi," katanya dalam sidang akhbar di Balai Ketibaan KLIA di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi itu disyaki bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Shuhaily, ketika insiden itu, isteri suspek berada di Balai Ketibaan untuk menerima kepulangan jemaah umrah dan pasangan itu merupakan pemilik syarikat agensi pelancongan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mulanya telah melemparkan satu mercun dan telah mencederakan dua orang awam sebelum bertindak nekad hampiri ke arah isterinya.

Ujarnya, suspek kemudian telah melepaskan dua das tembakan jarak dekat sekitar tiga hingga empat meter.

Seorang pengawal keselamatan parah selepas terkena tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang pada Ahad.
Seorang pengawal keselamatan parah selepas terkena tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang pada Ahad.

"Satu das telah tersasar dan satu das lagi telah mengenai seorang daripada dua pengawal peribadi wanita itu. Mangsa (sasaran) sebenar dalam kejadian terselamat daripada tembakan itu.

"Suspek kemudian terus melarikan diri ke aras 2 blok C yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ," katanya.

Tambah Mohd Shuhaily, pengawal peribadi itu telah menjalankan tugasnya dengan baik dan kini keadaannya dilaporkan kritikal selepas peluru terkena di bahagian perut.

"Saya dimaklumkan pengawal peribadi itu koma dan apabila keadaannya stabil, pembedahan akan dijalankan," katanya.

Tegas beliau, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut

Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28