'Buang rasa benci, anggap mereka seperti ibu bapa sendiri'

Hakina membantu warga emas supaya keadaannya lebih selesa.
Hakina membantu warga emas supaya keadaannya lebih selesa.
A
A
A

KOTA BHARU - Menjaga warga emas terutama yang sudah berusia lebih 60 tahun tidak semudah yang disangka kerana memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi kerenah mereka.

Bagi memastikan benar-benar ikhlas mengambil tanggungjawab ahli keluarga warga emas, penjaga perlu menganggap mereka sebagai ibu atau bapa sendiri.

Penjaga warga emas atau pembantu penyelia di Mesra Homecare, Mohd Irham Daniel Abdullah, 25, menolak ke tepi semua cabaran ketika bertugas dan setiap hari ‘bergembira’ dengan warga emas di bawah jagaannya.

Menurut Mohd Irham Daniel, pengalamannya bekerja di bawah syarikat pembersihan di sebuah hospital di sini menjadikannya lebih sabar dan profesional.

“Ia penting kerana saya perlu mengurus pelbagai kerenah mereka yang mungkin tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui di rumah jagaan itu.

Mohd Irham Daniel (kiri) sentiasa berbincang bersama Mariam Marina dan Hakina jika ada perkara membabitkan warga emas yang perlu diselesaikan
Mohd Irham Daniel (kiri) sentiasa berbincang bersama Mariam Marina dan Hakina jika ada perkara membabitkan warga emas yang perlu diselesaikan

Bagaimanapun jelas Mohd Irham Daniel, kaedah ‘berlembut’ menjadi keutamaan selain sentiasa mengingatkan warga emas terbabit kerana ada di antaranya menghidap dimensia.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Irham memberitahu, warga emas terbabit boleh bersikap agresif secara tiba-tiba seperti membuang lampin pakai buang yang dipakai.

Artikel Berkaitan:

“Itu bukan masalah bagi saya. Kami di sini sudah dilatih supaya bersikap profesional dan kadang-kadang perlu ada ‘tipu-tipu’ bagi mengelakkan mereka lebih agresif terutama warga emas yang penuh harapan mahu pulang ke pangkuan anak-anak.

“Kita juga tidak mahu warga emas itu terus gelisah dan aktiviti hariannya terganggu,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga mengakui tidak kisah mencuci najis dan menukar lampin pakai buang lebih sepuluh orang tua di bawah jagaannya.

“Keadaan mungkin lebih sukar jika mereka mengalami cirit-birit tetapi itu semua saya hadapi dengan hati tenang,” katanya.

Bagi penyelia rumah warga emas itu, Hakina Che Mohamad, 28, menjaga arwah neneknya beberapa tahun lalu sebagai pengalaman untuk berbakti kepada warga emas di Mesra Homecare.

Hakina yang memulakan tugas sejak September tahun lalu mengambil berat semua warga emas dengan melaksanakan rutin harian seperti memastikan kebersihan tempat tidur, makan serta minum secara teratur.

“Setiap hari saya perlu mengatur jadual penghantaran mereka ke hospital jika ada janji temu dan waktu makan ubat yang ditetapkan,” katanya.

Hakina yang pernah bekerja di Hospital Umra Shah Alam, Selangor juga memberitahu, kebersihan paling utama kerana mereka mudah sensitif dengan keadaan persekitaran.

“Kita sendiri juga perlu bersih kerana golongan ini mudah diserang penyakit dan selalu tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, pemilik empat cawangan Mesra Homecare di sekitar Kota Bharu, Mariam Marina Musa, 50, berkata, pembukaan pusat jagaan warga emas itu bertujuan membantu keluarga bermasalah yang mungkin tidak diketahui masyarakat.

Beliau mengakui bertuah kerana mempunyai pekerja dan pembantu yang bertanggungjawab serta boleh dipercayai untuk menjaga warga emas di pusat jagaan berkenaan.

“Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua pekerja kerana tahu kebolehan mereka selain komunikasi yang baik dengan warga emas,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!