Indonesia nafi mahu jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan besar-besaran menyokong rakyat Palestin di Jakarta pada 5 November tahun lalu. Foto AFP
Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan besar-besaran menyokong rakyat Palestin di Jakarta pada 5 November tahun lalu. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia menafikan laporan bahawa mereka akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel untuk mendapatkan keahlian dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan pada 11 April lalu bahawa Indonesia telah bersetuju untuk memulihkan hubungannya dengan Israel.

Malah, saluran media itu berkata, Jakarta memerlukan Israel untuk meluluskan permintaannya untuk menyertai OECD.

Yedioth Ahronoth memaklumkan, persetujuan itu dicapai selepas tiga bulan rundingan sulit antara Israel, Indonesia dan 38 buah negara OECD.

Di bawah perjanjian itu, Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia akan berusaha untuk menormalkan hubungannya dengan Baitulmaqdis.

Saluran media itu memetik surat baru-baru ini daripada Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann kepada Menteri Luar Israel, Israel Katz, mengatakan sebarang keputusan masa depan untuk menerima Indonesia sebagai ahli organisasi itu memerlukan persetujuan sebulat suara dalam kalangan semua ahli termasuk Israel.

Katz dalam surat kepada Cormann, dipetik oleh Yedioth Ahronoth sebagai berkata, beliau menjangkakan perubahan positif dalam dasar Indonesia terhadap Israel.

Satu lagi saluran media, The Times of Israel mengesahkan laporan itu, memetik seorang pegawai Israel yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan mengenai kemungkinan normalisasi hubungan Indonesia dengan Israel.

Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi daripada OECD mengenai laporan media tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhamad Iqbal berkata, pendirian Indonesia terhadap Palestin kekal tidak berubah dan ia mengekalkan 'sokongan tidak berbelah bahagi kepada kemerdekaan Palestin' melalui penyelesaian dua negara.

Ia merujuk kepada Palestin dan Israel yang wujud sebagai dua negara merdeka.

"Sehingga hari ini, tidak ada rancangan untuk membuka hubungan diplomatik dengan Israel khususnya di tengah-tengah kekejaman Israel di Gaza.

“Indonesia akan sentiasa konsisten untuk berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin,” kata Lalu pada 11 April. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28