Ulang tahun jubli emas hubungan diplomatik Malaysia-China amat bermakna

Tahun 2024 bakal menjadi tahun yang amat bermakna memandangkan hubungan diplomatik Malaysia dan China bakal meraikan ulang tahun jubli emas.
Tahun 2024 bakal menjadi tahun yang amat bermakna memandangkan hubungan diplomatik Malaysia dan China bakal meraikan ulang tahun jubli emas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahun 2024 bakal menjadi tahun yang amat bermakna memandangkan hubungan diplomatik Malaysia dan China bakal meraikan ulang tahun jubli emas.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China secara rasmi pada 31 Mei 1974 sekali gus muncul sebagai negara ASEAN pertama yang menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan Beijing.

Keputusan Perdana Menteri Malaysia kedua ketika itu, Tun Abdul Razak yang mengambil langkah berani untuk membuat perjalanan bersejarah ke Beijing menerima pujian, selain tindakan itu disifatkan sebagai berwawasan serta telah menyemai benih persefahaman antara kedua-dua negara.

Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Prof Khoo Ying Hooi berkata, hubungan Malaysia-China berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang didorong oleh pelbagai faktor, terutamanya dalam perdagangan dan ekonomi, pelaburan, pembangunan infrastruktur, hubungan diplomatik dan geopolitik yang dinamik serta pertukaran budaya dan pendidikan.

"Malaysia secara umumnya mengekalkan hubungan dua hala yang mesra dengan China. Ia boleh digambarkan sebagai gabungan kerjasama dan dikemudi dengan berhati-hati dalam persekitaran kerumitan geopolitik, didorong oleh kepentingan ekonomi sambil mengambil kira dinamik serantau dan kebimbangan kedaulatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Centre For New Inclusive Asia, Prof Koh King Kee berkata, titik perubahan bagi hubungan dua hala yang terjalin ketika itu ialah langkah Malaysia menarik balik sekatan perjalanan pada tahun 1985 ketika era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ia telah memudahkan penglibatan dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara sekali gus menggalakkan ikatan antara rakyat dan mengukuhkan asas hubungan dua hala dari segi budaya dan ekonomi,” kata King Kee.

Beliau berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, Putrajaya lebih mengutamakan membina hubungan kukuh dengan Beijing dengan Anwar sendiri telah melawat China sebanyak dua kali dalam tempoh setahun sejak memegang jawatan pada November 2022.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini mengenai Dasar Pandang Ke Timur Malaysia yang berusia 40 tahun harus merangkumi China jelas membuktikan komitmen beliau untuk memacu hubungan Malaysia-China ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Perdagangan Malaysia-China telah berkembang daripada AS$388 juta pada tahun 1985 kepada AS$203.6 bilion pada 2022 menyaksikan peningkatan lebih 500 peratus dalam tempoh 37 tahun.

"Sokongan awal Malaysia terhadap Inisiatif Jalur dan Laluan China berfungsi sebagai rangsangan besar untuk pelaburan dari China," katanya.

Mengemudi Perbezaan dan Cabaran

Walaupun hubungan diplomatik kekal stabil dan mesra, interaksi Malaysia-China turut mendepani cabaran, termasuk dalam isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

King Kee percaya bahawa hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama telah membantu kedua-dua negara mengemudi dan menangani perbezaan dengan matang.

Memetik isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang turut menjadi ‘medan perang’ dalam persaingan strategik AS-China, beliau berkata, sebarang pertikaian berpotensi menjadi faktor gangguan dalam hubungan dua hala andai tidak diurus dengan berhati-hati.

"Walaupun tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu, Malaysia dan China harus terus mengadakan dialog dan rundingan untuk mendapatkan hasil yang menguntungkan bagi kedua-dua pihak dalam isu berkenaan.

Pada masa yang sama, Ying Hooi berkata, Malaysia seperti negara Asia Tenggara lain telah berusaha mengimbangi kepentingan ekonominya dengan China sambil menjaga kedaulatan dan kestabilan serantaunya.

"Perubahan dalam dinamik global dan serantau, termasuk peralihan kuasa ekonomi global, pengaturan semula geopolitik dan kebimbangan keselamatan serantau sudah tentu mempengaruhi hubungan Malaysia-China,” katanya.

Masa Depan Yang Menjanjikan

King Kee turut yakin bahawa hubungan Malaysia-China akan terus diperkukuh dan pemimpin kedua-dua negara kekal komited untuk membina komuniti Malaysia-China dengan masa depan yang dikongsi bersama.

Di persada antarabangsa, Malaysia dan China telah mengekalkan hubungan yang secara umumnya positif dan sering bekerjasama dalam isu seperti kestabilan serantau, perubahan iklim dan tadbir urus global, bersandarkan kepada sikap saling menghormati dan komitmen mencari titik persamaan dalam persekitaran global yang mencabar.

"Sejak 50 tahun yang lepas hubungan diplomatik Malaysia dan China mungkin menghadapi cabaran dan perbezaan.

"Bagaimanapun, keupayaan kedua-dua negara untuk mengemudi dan menyelesaikan isu-isu seperti itu menunjukkan daya tahan dan kematangan hubungan dua hala,” katanya.

Memandangkan hubungan diplomatik kedua-dua negara sudah menjangkau usia 50 tahun, terdapat keyakinan bahawa perkongsian itu akan terus utuh dan berkembang, memberi manfaat kepada kedua-dua negara untuk tahun-tahun akan datang serta dalam memupuk kestabilan dan kerjasama serantau.

Tatkala tumpuan diberikan kepada membina hubungan yang lebih kukuh di peringkat kerajaan dengan kerajaan dan dalam perdagangan dan pelaburan, usaha untuk memperdalam interaksi sesama rakyat, terutamanya dalam kalangan generasi muda boleh meningkatkan lagi persefahaman dan persahabatan antara Malaysia dan China.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia secara berturut-turut sejak 14 tahun lalu.

Perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah rekod tertinggi AS$203.6 bilion (AS$1= RM4.657) pada tahun 2022 manakala pelaburan China di Malaysia berjumlah AS$12.5 bilion (RM60 bilion), menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah Pelaburan Langsung Asing Malaysia ( FDI) pada tahun yang sama.

Bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, dagangan dengan China dicatatkan pada RM410.01 bilion, dengan eksport RM174.55 bilion, terutamanya terdiri daripada penghantaran produk elektronik dan elektrik (E&E), minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta sebagai produk besi dan keluli. - Bernama